Menerima berita sedih pemergian Tok Sofiyyah atau nama sebenarnya Piah bt Said yang menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas Maghrib semalam. Tok Sofiyyah ialah bonda kepada Ustaz Yusoff Man, mudir saya ketika belajar di Ma'hadul-Azhar, Pokok Sena Pulau Pinang. Walau pun, Tok Sofiyyah tidak pernah mengajar kami di dalam kelas, tetapi dia sentiasa bersama-sama kami di Ma'hadul-Azhar. Dialah yang selalu menjenguh pelajar-pelajar, melihat makan minum kami, bertanya khabar kesihatan kami dan menyantuni kami. Tidak hairanlah, walau pun Tok Sofiyyah tidak mempunyai hubungan darah dengan kami, kecuali beberapa orang, kami tetap mesra dengannya. Kami memanggilnya dengan panggilan Tok, seperti seorang cucu memanggil neneknya.
Justeru, sumbangan dan keprihatinan Tok Sofiyyah kepada pembangunan Ma'hadul-Azhar dan pelajar-pelajarnya tidak mungkin dapat disangkal. Saya sebagai 'cucu' Tok Sofiyyah memohon agar Allah yang Maha Pengasih melimpahkan kasih sayang-Nya kepada nenekanda kami ini. Semoga segala ilmu yang kami timba dan praktiskan kini, segala ganjarannya diberikan kepada Tok Sofiyyah.
Ustaz Yusoff memaklumkan yang jenazah akan dimandikan, dikafan dan disolatkan di rumah anak perempuan beliau di Kampung Kok Lanas, Kodiang. Solat jenazah akan diadakan pada jam 10.00 pagi ini. Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kodiang.
Kepada rakan-rakan saya yang berada berdekatan, saya mengalu-alukan untuk menziarahi jenazah beliau dan mensolatkannya. Di samping itu, solat jenazah ghaib akan dilakukan di Masjid Bertam Indah, SMKA Irsyad Khairiyah Pokok Sena, SMKA Matang Kuching dan sekolah di Miri Sabah. Selain itu solat jenazah ghaib juga akan dilakukan oleh anak-anak lepasan Mah'hadul-Azhar dan rakan-rakan di seluruh dunia.
Saya mengalu-alukan rakan-rakan untuk turut sama melakukan solat ghaib untuk almarhumah ini. Semoga Allah menempatkan Tok bersama orang-orang yang beriman.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan Ustaz Yusoff Uthman - 013 3101040
0 comments:
Catat Ulasan