KEBERSIHAN FIZIKAL
&
KEJERNIHAN AKHLAK
Kebersihan adalah rutin yang dikongsi oleh semua orang dan diamalkan dalam setiap masyarakat. Kebersihan fizikal dan akhlak yang baik sangat dititik beratkan agama, terutamanya sebelum melaksanakan sebarang ibadat. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kebersihan fizikal mempengaruhi nilai murni seseorang. Oleh itu, satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kaitan kebersihan luaran dan dalamam. Dr. Zhong dari Universiti Toronto dan Dr. Lijenquist dari Universiti Northwestern mengkaji sama ada perbuatan jahat atau berdosa mendorong pelakunya untuk membersihkan dirinya secara fizikal, dan apakah kebersihan luaran membantu memperbaiki tabiat buruk.
Kaji selidik yang dijalankan ke atas sekumpulan peserta menunjukkan manusia memerlukan pembersihan luaran selepas melakukan perkara tidak bermoral atau berdosa. Mereka juga secara tidak sedar merasakan perlunya melakukan pembersihan luar untuk membersihkan dosa mereka. Ini membuktikan dengan jelas bahawa tuntutan membersihkan diri dalam Islam bertepatan dengan fitrah manusia sebagaimana yang dibuktikan melalui uji kaji tersebut.
Islam menggalakkan mandi sunat dan memakai wangian sebelum bersolat terutamanya solat Jumaat dan solat sunat hari raya. Ini seolah-olah menggambarkan kepada Pencipta bahawa mereka adalah orang yang bersih dan baik pekerti. Selain itu kebersihan luaran juga memberikan manfaat besar kepada kita dengan menghilangkan segala kekotoran yang nampak dan tidak nampak daripada tubuh kita. Keutaman Islam terhadap kebersihan dapat dilihat pada sabda Rasulullah s.a.w. bahawa kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman. Kaitan iman dan kebersihan ini membuktikan hubungan erat antara kesucian tubuh badan, pakaian dan tempat tinggal dengan kemurnian hati dan akhlak.
Aspek kebersihan diamalkan sepenuhnya oleh Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan hariannya. Anjuran Baginda agar mandi selepas bersetubuh sangat penting dalam mengelakkan jangkitan kuman yang berpunca daripada hubungan seksual. Kewajipan berwuduk sebelum melakukan pelbagai ibadah yang difardukan juga memainkan peranan penting memeliharan kebersihan dan kesihatan manusia. Sekurang-kurangnya setiap Muslim yang taat berwuduk sebanyak lima kali sehari. Wuduk dapat menghindari pelbagai masalah kesihatan sebagaimana yang dihuraikan oleh Mukhtar Salem dalam bukunya Prayer: A Sport for Body and Soul. Dia juga menggariskan beberapa manfaat wuduk seperti berikut:
1. Wuduk mencegah kanser kulit kerana bahagian tubuh yang dibasuh dalam wuduk adalah yang paling mudah terdedah kepada pencemaran. Sama ada pencemaran dalaman seperti peluh atau luaran seperti habuk, wuduk berupaya menghilangkan pencemaran ini lima kali sehari dan memastikan lapisan kulit luar sentiasa bersih supaya sel-sel kulit dapat berfungsi dengan baik.
2. Berkumur dapat membersihkan mulut daripada cebisan makanan yang dimakan, yang boleh menyebabkan kerosakan gigi dan gusi.
3. Memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya kembali dapat menghilangkan kotoran yang tersangkut pada bulu-bulu hidung. Ini kerana bulu hidung berfungsi sebagai penapis udara yang cuba masuk ke dalam sistem pernafasan dan menyekat bahan kotor dalam udara. Kajian sekumpulan doktor di Universiti Iskandariah, Mesir, mendapati amalan ini mempunyai kesan positif kepada kebersihan hidung. Mereka mendapati orang yang sering berwuduk mempunyai hidung yang bersih tanpa debu atau kotoran pada bulu hidung. Sedang mereka yang tidak berwuduk atau jarang-jarang solat, mempunyai hidung yang hitam dan bulu hidungnya mudah tercabut.
4. Membasuh muka berulang kali memelihara sel-sel muka dan mencegah berlakunya kedutan awal. Selain itu, ia juga membantu membersihkan mata dan mencegah jangkitan kuman pada mata.
5. Amalan menyelati jari-jari ketika membasuh kaki juga sangat penting. Ini kerana kaki yang sering berada di dalam kasut yang tertutup boleh merosakkannya sebagaimana kerap terjadi pada atlet. Membongkokkan badan ketika menyelati kaki juga membantu menguatkan pinggang.
Oleh itu, jelaslah bahawa taharah yang diwajibkan dalam Islam mempunyai nilai kesihatan yang tinggi kepada manusia. Eksperimen sains juga membuktikan hubungan erat di antara kebersihan luaran dan kemurnian akhlak dan hati. Ini menjawab persoalan mengapa Allah s.w.t. mewajibkan taharah atau pembersihan dalam setiap ibadat yang diwajibkan ke atas hamba-Nya. Wuduk, mandi, siwak, berwangi-wangian dan bersuci adalah pemberian Allah kepada kita untuk memelihara hamba-hamba-Nya.
0 comments:
Catat Ulasan