Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB

">

Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB (part 2)

">

Jumaat, 20 Jun 2008

SEL STEM

SEL KEHIDUPAN
Hukum Penggunaan Sel Stem untuk Rawatan Kesihatan


1. Saya pernah mendengar tentang rawatan dengan menggunakan sel stem manusia. Apa itu sel stem?

Sel stem atau sel induk adalah sel istimewa yang memiliki keupayaan untuk berkembang (membahagi) dalam tempoh yang tidak tetap dan boleh berubah menjadi pelbagai jenis sel yang khusus. Keupayaan yang dikenali sebagai keplastikan (plasticity) ini, adalah sifat biasa bagi telur-telur yang telah disenyawakan dan sel-sel awal embrio (juga dikenali sebagai blastomer). Telur yang telah disenyawakan dan mempunyai kebolehan untuk membentuk semua sel di dalam tubuh, mempunyai keupayaan perkembangan keplastikan yang paling tinggi. Oleh itu, ia bersifat totipoten, iaitu ia boleh berkembang menjadi embrio yang lengkap apabila diasingkan daripada kumpulan blastomer. Sel stem terbahagi kepada dua, iaitu sel stem embrio dan sel stem orang dewasa. Apabila ditempatkan di dalam kultur, sel-sel stem ini berkembang dan mula membahagi, dan para saintis kini sedang berusaha untuk memaksa mereka menghasilkan jenis-jenis sel yang boleh diguna pakai bagi menyembuhkan pelbagai penyakit.


Sel stem manusia dewasa ialah satu sel tidak matang di antara sel-sel yang telah berubah di dalam satu tisu atau organ. Ia boleh memperbaharui dirinya, dan dapat berubah untuk menghasilkan jenis-jenis sel tisu atau organ yang khusus. Peranan utama sel stem dewasa ini di dalam organisma hidup adalah untuk mengekalkan dan memperbaiki tisu-tisu tempat mereka berada. Sebahagian saintis menggunakan istilah sel stem somatik (somatic stem cell).
Sel stem embrio pula adalah sel-sel stem yang diambil dari embrio-embrio yang terbentuk dari telur-telur yang telah disenyawakan di luar rahim (in vitro), di klinik-klinik persenyawaan luar rahim dan kesuburan wanita, dan kemudian didermakan untuk tujuan penyelidikan dengan mendapat keizinan dari penderma. Ia tidak diambil dari telur-telur yang disenyawakan di dalam rahim wanita. Embrio-embrio yang diambil sel stemnya, adalah yang berusia empat atau lima hari dan ia berbentuk seperti sebiji bola bersaiz mikroskopik yang berlubang di tengahnya.

(rujuk National Institute of Health, “Stem Cell Basics”, Stem Cell Information, (Online), http://stemcells.nih.gov/info/basics/basics5.asp)

2. Saya dan isteri telah melakukan Persenyawaan Luar Rahim (IVF) sehingga mendapat seorang cahaya mata. Setelah itu, kami dihubungi oleh syarikat yang menjalankan proses ini untuk meminta kebenaran menggunakan lebihan embrio kami untuk tujuan penyelidikan sains. Kami berminat untuk mendermakannya bagi tujuan tersebut, tetapi adakah Islam membenarkannya?

Harus puan dan suami mendermakan embrio tersebut untuk tujuan perubatan selagi ia belum sampai ke peringkat alaqah (blastocyst). Lagi pun, embrio-embrio lebihan daripada proses IVF ini hanya akan dibuang. Tetapi, perlu dipastikan bahawa embrio-embrio ini tidak ditanam di dalam rahim perempuan lain.

(rujuk Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, no. fatwa P.U. 13, diwartakan pada 25 Mei 2006)


3. Apakah Islam membenarkan pengambilan sel stem dewasa untuk merawat seorang pesakit yang sangat memerlukannya?

Islam membenarkan penggunaan atau perpindahan sel stem seorang manusia kepada manusia lain untuk tujuan perubatan selagi prosedur ini tidak memudaratkan kedua-dua belah pihak, iaitu penderma dan penerima. Namun begitu, Islam sama sekali mengharamkan penglibatan sebarang ganjaran material daripada pemberian ini. Penggunaan sel stem dewasa yang paling biasa kita dengar ialah perpindahan sumsum tulang.


4. Saya adalah seorang pesakit jantung yang kronik. Menurut pakar saya tidak lagi sesuai untuk sebarang rawatan konvensional lain seperti angioplasti atau pembedahan pintasan koronari arteri. Oleh itu, mereka mencadangkan saya menjalani terapi perpindahan sel stem. Apa pandangan Islam dalam hal ini?
Penggunaan sel stem dewasa yang diambil daripada satu organ dan dipindahkan ke bahagian yang memerlukan seperti jantung, adalah satu penemuan terkini bidang perubatan. Terapi sel stem ialah sekumpulan prosedur baru dan teknologi yang memperkenalkan sel yang berkeupayaan untuk menjana atau menggantikan sel-sel yang berpenyakit dengan sel-sel baru yang sihat dan boleh berfungsi. Seorang lelaki, Allagara Arumugum, (lihat gabar) yang juga mengalami masalah sama dengan anda dan telah berjaya sembuh melalui terapi ini. Oleh itu, Islam tidak mempunyai sebarang halangan dalam penggunaan sel stem dewasa, sama ada daripada orang lain atau daripada organ lain pesakit, selagi ia terbukti berkesan dan tidak memudaratkan berdasarkan pandangan mereka yang pakar dalam bidang ini.



5. Saya terbaca tentang penggunaan embrio yang disenyawakan menggunakan sperma dan ovum yang didermakan atau dijual untuk tujuan perubatan dan penyelidikan. Perkara ini berlaku di barat. Apakah Islam membenarkan perbuatan ini?

Pertama perlu dijelaskan bahawa Islam mengharamkan perdagangan benih (sperma dan ovum) kerana ia adalah perbuatan yang jelik dan menghina kesucian manusia. Oleh itu, penggunaan embrio yang disenyawakan dengan teknologi Somatic Cell Nuclear Transfer (SCNT) semata-mata untuk tujuan kajian atau perubatan adalah haram.
(rujuk Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, no. fatwa P.U. 13, diwartakan pada 25 Mei 2006)

6. Saya pernah mendengar tentang penggunaan darah anak yang lahir untuk merawat anak tersebut jika ditakdirkan dia berpenyakit di masa hadapan. Apakah benar darah boleh digunakan untuk merawat penyakit dan apa pula pandangan Islam dalam isu ini?

Setahu penulis tidak ada sebarang rawatan yang melibatkan penggunaan darah anak yang baru lahir. Mungkin yang saudara maksudkan ialah penggunaan sel stem tali pusat bayi (Umbilical Cord Blood Stem Cell Transplant) untuk merawat beberapa penyakit kronik. Ia terbukti lebih berkesan daripada penggunaan sel stem dewasa (seperti sumsum tulang) kerana lebih jarang ditolak oleh sistem imun tubuh pesakit. Prosedur ini dilakukan dengan menyimpan bekukan sel-sel stem tali pusat bayi yang baru lahir sebagai langkah berjaga-jaga jika bayi tersebut dikesan mempunyai penyakit kronik yang tidak dapat disembuhkan dengan cara biasa, seperti sakit jantung, leukemia, kanser, kecacatan sistem imun, diabetes, kardiovaskular, Parkinson, dan lain-lain. (Gambar- sel darah tali pusat)

Jika saudara perhatikan, terdapat iklan tentang tawaran untuk menyimpan sel-sel stem bayi anda di dalam majalah, akhbar malah pada bas-bas mini sekitar Kuala Lumpur, dengan slogan “Stem Cell: Save Your Baby.” Syarikat-syarikat yang mengkomersialkan terapi ini sangat banyak di Amerika, kerana untuk menjalankan terapi ini, sel-sel stem hendaklah diambil dengan segera selepas kelahiran seorang bayi. Kemudian ia akan disimpan beku dengan baik untuk mengelakkannya daripada rosak. Di masa hadapan, sekiranya bayi tersebut diserang penyakit kronik, sel-sel inilah yang akan digunakan untuk melakukan terapi sel stem. Semakin lama disimpan, kosnya juga semakin meningkat.

Secara umumnya, Islam mengharuskan proses mengambil, menyimpan beku dan menggunakan sel-sel stem tali pusat untuk tujuan perubatan. Tetapi perlu dipastikan tidak wujud sebarang penipuan dalam urusan ini. Pembaca pernah membaca beberapa artikel oleh mereka yang pakar dalam bidang ini, yang mempersoalkan kewajaran menubuhkan bank sel stem dan mengaut keuntungan berlebihan dalam proses ini. Menurut mereka, syarikat-syarikat ini memutar belitkan fakta dan memberikan harapan terlalu tinggi terhadap ibu bapa untuk, kononnya, menyelamatkan anak mereka. Sedangkan penggunaan sel stem tali pusat masih dalam peringkat awal kajian dan belum benar-benar berjaya. Wallahu ‘alam


















7. Apa pandangan Islam tentang embrio, adakah ia dianggap manusia atau tidak? Persoalan ini saya kemukakan kerana terdapat banyak perdebatan dalam isu penggunaan embrio manusia untuk tujuan perubatan atau kajian.

Dr. Muzammil Siddiqi menjelaskan bahawa, syariah Islam membezakan di antara kehidupan yang sebenar (manusia) dan yang bakal menjadi hidupan (embrio). Begitu juga terdapat perbezaan yang nyata di antara ovum yang disenyawakan di dalam piring dan ovum yang disenyawakan di dalam rahim ibu. Walau pun diakui bahawa embrio adalah sangat bernilai, tetapi ia belum menjadi manusia. Ini karena, embrio-embrio yang digunakan untuk tujuan ini datangnya daripada klinik-klinik kesuburan yang melakukan Persenyawaan Luar Rahim (IVF) dan menghasilkan sejumlah embrio untuk tujuan ini. Apabila persenyawaan berjaya dilakukan, baki embrio-embrio ini akan dibuang. Oleh itu, jika dikatakan bahawa embrio-embrio ini adalah manusia, maka pemusnahan ini boleh dikira sebagai pengguguran atau mungkin pembunuhan!
(Dr. Muzammil Siddiqi, “An Islamic Perspective on Stem Cells Research”, laman Islamicity, http://www.islamicity.com/articles/Articles.asp?ref=IC0202-404)

Ulama Islam juga telah menggariskan perbezaan di antara peringkat-peringkat awal kehamilan (40 hari yang pertama) dan peringkat-peringkat yang kemudian. Misalnya Dr. Wahbah az-Zuhaily di dalam bukunya al-Feqh al-Islamiy Wa Adillatuh pada bab Jenayah Ke Atas Janin, menjelaskan bahwa jika seseorang itu memukul seorang wanita hamil pada perutnya atau belakangnya atau rusuknya atau kepalanya sehingga menyebabkan janinnya keguguran dan mati, maka wajib ke atasnya diyat janin. Iaitu lima ekor unta atau lima puluh dinar atau lima ratus dirham, yang bersamaan dengan separuh diyat orang dewasa. Ini memberikan alamat jelas bahawa Islam tidak menganggap janin atau embrio yang belum dilahirkan sebagai manusia. Ini juga dapat dilihat dengan jelas dalam pendirian Islam dalam kes pengguguran yang dibenarkan.
(Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaily, “Fiqh Islamiy Wa Adillatuh”, 7/5771, Damsyiq: Dar al-Fikr, 1997)



8. Walau pun, Islam tidak menganggap embrio sebagai manusia, tetapi ia adalah asal kejadian manusia yang perlu dihormati, seperti juga air mani. Jadi, apakah boleh ia dimusnahkan untuk tujuan perubatan atau penyelidikan?

Persoalan kedua pula berkaitan sama ada syariah membenarkan pemusnahan embrio untuk mendapatkan sel stemnya bagi kegunaan penyelidikan dan perubatan. Sebagaimana yang telah dijelaskan, sel-sel stem telah didapati mempunyai potensi yang cemerlang untuk mengubati pelbagai penyakit. Tambahan pula, penyakit-penyakit tersebut adalah yang sangat kronik yang membawa kepada kematian dan peratusan mereka yang menderitanya juga makin meningkat setiap hari di seluruh dunia, seperti penyakit jantung, diabetes, Parkinson, Alzheimer, kecederaan tulang belakang dan lain-lain. Namun begitu potensi ini hanya boleh dicapai dengan melakukan lebih banyak penyelidikan. Dan penyelidikan ini hanya dapat dijalankan dengan adanya embrio-embrio yang diambil dari klinik-klinik kesuburan.

Ini karena mencari rawatan dan berubat adalah wajib dalam Islam sebagaimana pandangan sekumpulan dari pengikut mazhab Syafie dan Hanbali. Ia juga bertepatan dengan maqasid syariah dalam meraikan kepentingan manusia dan menolak kerosakan. Di antara kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk menguatkan hujah ini adalah seperti berikut:



دَرء المَـفاسِـدِ مُـقَـدِّم على جَـلبِ المَصـالِـح
- Membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan.
لا ضَـرَرَ و لا ضِـرارَ
- Tiada kemudaratan dan tidak memudaratkan
الضَّــرَرُ يُـزالُ
- Kemudaratan hendaklah dihapuskan
الضَّـرَرُ يُـدفَـعُ بِـقَـدَرِ الإمـكان
- Kemudaratan itu ditolak menurut kadar yang mungkin
كُـلُّ ما أضّـرَّ بِـالمُـسـلِمين وَجَـبَ أن يُنـفى عَـنـهـم
- Apa sahaja yang memudaratkan kaum Muslimin wajib dihindarkan daripada mereka
الـضَـرَرُ الأشَــدُّ يُــزالُ بالـضَّـرَرِ الأخَــفِّ
- Kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan


(Ab. Latif Muda dan Rosmawati Ali, “Perbahasan Kaedah-kaedah Fiqh”, hlm. 174-180, Kuala Lumpur: Ilham Abati Enterprise, 2000)

Menurut Dr. Muzammil lagi, embrio ini tidak akan selamat jika tidak ditempatkan di dalam rahim ibu dan tidak akan dapat berkembang menjadi manusia. Oleh itu, tidak salah menggunakannya untuk penyelidikan bagi mencari penawar yang dapat memulihkan penyakit-penyakit ini. Bagaimana pun, adalah penting untuk kita terlebih dahulu membentuk garis panduan undang-undang berkaitan dengan pendermaan sel-sel ini. Ini karena pelbagai penyelewengan mungkin berlaku seperti, seorang doktor di klinik kesuburan mungkin sengaja mensenyawakan lebih ovum untuk mendapatkan lebih banyak embrio, atau ovum mungkin diperdagangkan dengan harga yang tinggi untuk, atau mungkin juga embrio diambil tanpa pengetahuan penderma. Oleh itu, dalam membuat garis panduan ini adalah sangat penting untuk membedakan di antara penggunaan embrio-embrio lebihan dari prosedur IVF, dan penghasilan embrio semata-mata untuk tujuan penyelidikan sel stem.

(Dr. Muzammil Siddiqi, “An Islamic Perspective on Stem Cells Research”, laman Islamicity, http://www.islamicity.com/articles/Articles.asp?ref=IC0202-404)


9. Apakah terdapat sebarang fatwa terperinci terhadap penggunaan sel stem dalam perubatan dan kajian?

Terdapat beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh mereka yang berautoriti dalam bidang ini. Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan pada 25 Mei 2006:

1. Pengklonan terapeutik untuk tujuan rawatan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu atau menggantikan organ yang telah rosak dengan mengambil kira langkah-langkah sempadan yang dibenarkan oleh syarak’ adalah diharuskan.

2. Harus menggunakan embrio yang disimpan beku atau lebihan embriodari proses persenyawaan di luar rahim (IVF) untuk tujuan penyelidikan dengan syarat mendapat persetujuan pasangan suami isteri yang menerima rawatan dan kajian tersebut dilakukan sebelum mencapai tahap ‘alaqah’(blastocyst).

3. Penyelidikan ke atas pra-embrio selain dari untuk tujuan terapeutik hendaklah mendapat kebenaran daripada pasangan suami isteri. Praembrio hasil penyelidikan ini, tidak boleh sama sekali ditanam dalam rahim isteri atau mana-mana wanita yang lain.

4. Harus melakukan penyelidikan ke atas pra-embrio untuk mengetahui penyakit genetik bagi pasangan suami isteri yang berisiko tinggi dan hanya embrio yang dikenal pasti bebas dari penyakit sahaja boleh ditanam dalam rahim ibunya dalam tempoh perkahwinan yang sah. Sebarang penyelidikan yang berunsurkan komersial atau yang tiada kaitan dengan kesihatan ibu atau janin adalah tidak dibenarkan.5. Rawatan kejuruteraan genetik ke atas pra-embrio yang melibatkanpengubahsuaian sifat semula jadi seperti rambut, warna rambut,kebijaksanaan, ketinggian dan sebagainya termasuk memilih jantinaadalah haram. Bagaimanapun, pemilihan jantina diharuskan sekiranyafaktor jantina menatijahkan suatu penyakit genetik yang serius yangboleh membawa kematian.

6. Penyelidikan hendaklah dijalankan secara sah dan proposal penyelidikan mestilah jelas, saintifik dan dikendalikan oleh penyelidik yang benar-benar mempunyai kemahiran, amanah serta bertanggungjawab.

7. Sel stem daripada sumber-sumber berikut adalah harus digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kaji selidik:

a. Daripada seorang dewasa (sel stem dewasa) dengan izin danprosedurnya tidak mengakibatkan mudarat;
b. Daripada seorang kanak-kanak dengan keizinan ibu bapanya danprosedurnya tidak mengakibatkan mudarat;
c. Daripada uri dan darah tali pusat bayi dengan keizinan ibu bapanya;d. Daripada janin yang gugur secara spontan atau keguguran akibatdaripada rawatan perubatan yang dibenarkan syara’ dengan syaratmendapat keizinan ibu bapanya, bukan janin yang digugurkan secarasengaja atau digugurkan tanpa sebab-sebab perubatan yang dibenarkanoleh syara’;
e. Daripada lebihan embrio (excess embryos) yang disimpan beku daripada teknologi bantuan kesuburan IVF dengan syarat mendapat keizinan daripada ibu bapanya. Sel stem daripada embrio yang dihasilkan secara sengaja (created embryo) dengan teknologi Somatic Cell Nuclear Transfer ( SCNT ) adalah tidak dibenarkan berdasarkan kaedah saddul zaraie’ iaitu menutup pintu keburukan.

(rujuk Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, no. fatwa P.U. 13, diwartakan pada 25 Mei 2006) atau layari alamat berikut:
http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1322



Sebarang Persoalan Tentang Isu ini Sila Kemukakan kepada Ustaz Rohidzir Rais (khatamirais@yahoo.com)

0 comments: