Siri Rahsia Syariat
Mari Bersyukur
Terima Kasih! Ucapan paling mudah dan kerap kita lafazkan setiap hari apabila menerima pemberian daripada orang lain berupa hadiah, sedekah, perkhidmatan, pertolongan atau sekadar budi bahasa dan senyuman. Bayangkan sekiranya pemberian yang sekecil ini daripada hamba yang lemah seperti kita pun kita hargai, bagaimana pemberian yang lebih besar?
Udara yang kita hirup, air yang kita minum, makanan yang kita makan, adalah sebahagian kecil nikmat anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kita mungkin tidak menyedari segala pemberian ini kerana menikmatinya terlalu lama sejak dilahirkan sehingga kini. Namun kita hanya merasai besarnya nikmat ini selepas kehilangannya. Justeru itu sudah sewajarnya kita yang menerima segala kemudahan yang tidak terbatas ini mengucapkan terima kasih kepada Allah s.w.t.
Tidak Syukur Membawa kepada Kufur
Oleh itu, bersyukur atau berterima kasih kepada Allah adalah kewajipan seorang Mukmin. Malah Allah menjanjikan ganjaran bagi mereka yang mensyukuri-Nya dan mengancam mereka yang ingkar. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ لَمْ يَشْكُرْ الْقَلِيلَ لَمْ يَشْكُرْ الْكَثِيرَ وَمَنْ لَمْ يَشْكُرْ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَالتَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللَّهِ شُكْرٌ وَتَرْكُهَا كُفْرٌ وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ
Maksudnya: "Siapa yang tidak bersyukur dengan benda yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan benda yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad pada bab Awal Musnad Ahli Kufah: Baki Hadis al-Nu'man bin Basyir r.a.)
Syukur Pelaris Rezeki
Untuk berterima kasih kepada manusia kita mungkin terpaksa memberikan habuan tertentu sebagai balasan, tetapi sebaliknya dengan Allah. Ini kerana Allah tidak berhajat kepada manusia untuk mengucapkan syukur sebagaimana firmannya:
وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ
(Surah al-Naml 27 : 40)
Sebaliknya orang yang bersyukur dengan nikmat pemberiannya ditambahkan lagi dengan kurniaan yang lain berlipat kali ganda. Firman Allah:
Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim 14 : 7)
Nikmat Allah Hendaklah Diperlihatkan
Selain itu, segala nikmat pemberian Allah hendaklah disebut-sebutkan dan dihebahkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, bukan untuk bermengah-mengah. Misalnya, apabila mendapat cahaya mata atau berkahwin digalakkan membuat jamuan kenduri kesyukuran secara sederhana untuk meraikan nikmat Allah ini. Firman Allah:
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
(Surah Dhuha 93 : 11)
Jadi, tunggu apa lagi. jom kita bersyukur!!!
1 comments:
salam..ingin meminta kebenaran untuk copy n publishkan artikel ini di blog saye utk manfaat bersama..syukran..
Catat Ulasan