DI SEBALIK DEBU KEHINAAN,
ADA KELEBIHAN
Kehinaan
Tanah yang kita pijak setiap hari adalah simbol kehinaan dan kerendahan di mata kita. Debu yang berterbangan sangat menyusahkan kerana ia menyebabkan perabot kotor dan terjejas. Demikian gambaran kedudukan debu dan tanah yang berada di sekeliling kita. Kerana itu, apabila Allah s.w.t. mensyariatkan tayammum menggunakan debu sebagai ganti air, ia adalah satu tarbiah Allah s.w.t. terhadap hamba-hamba-Nya supaya sentiasa sedar kedudukan mereka. Dalam keadaan biasa, tiada siapa pun yang berfikiran waras akan meletakkan tanah ke mukanya. Tetapi, tanah yang hina ini terpaksa diletakkan di muka dan tangan yang mulia demi mematuhi arahan Allah s.w.t. Ia juga sebagai peringatan bahawa setinggi mana pun darjat kedudukan dan betapa banyak harta kekayaan, kita semua berasal daripada tanah yang hina juga. Oleh itu, kita hendaklah menginsafi diri dan jangan sesekali melampaui batas ketetapan Allah s.w.t.
Kemuliaan
Di sebalik kehinaan ini, tayammum secara tidak langsung juga mengangkat martabat umat Muhammad s.a.w. mengatasi umat-umat terdahulu. Bagaimana debu mengotorkan ini membezakan kedudukan kita dengan umat-umat lain? Masakan tidak, kita adalah satu-satunya umat daripada pelbagai umat Allah s.w.t. yang dianugerahkan kelebihan bumi sebagai tempat solat dan tanah sebagai alat bersuci. Ini memberikan kemudahn kepada kita kerana tidak semua tempat mempunyai air, sedang tanah diperoleh di mana-mana. Keistimewaan ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w.:
أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ قَبْلِي كَانَ كُلُّ نَبِيٍّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى كُلِّ أَحْمَرَ وَأَسْوَدَ وَأُحِلَّتْ لِيَ الْغَنَائِمُ وَلَمْ تُحَلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي وَجُعِلَتْ لِيَ الْأَرْضُ طَيِّبَةً طَهُورًا وَمَسْجِدًا فَأَيُّمَا رَجُلٍ أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ صَلَّى حَيْثُ كَانَ وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ بَيْنَ يَدَيْ مَسِيرَةِ شَهْرٍ وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ
Maksudnya: "Saya diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada sesiapa pun sebelum saya. Setiap nabi diutus kepada kaumnya sahaja, sedangkan saya diutus kepada setiap kaum yang berkulit merah atau hitam. Rampasan perang dihalalkan kepada saya, sedangkan ia tidak dihalalkan kepada orang lain sebelum saya. Dijadikan tanah itu baik dan suci untuk ku dan boleh dijadikan masjid. Siapa sahaja yang sampai waktu solat, dia boleh bersolat di mana dia berada. Saya dibantu dengan perasaan gerun (musuh-musuh) walau pun mereka berada pada lingkungan jarak sebulan perjalanan daripada saya, dan saya juga boleh memberikan syafaat."
(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim pada bab Masjid dan Tempat Solat)
(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim pada bab Masjid dan Tempat Solat)
0 comments:
Catat Ulasan