Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB

">

Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB (part 2)

">

Selasa, 18 Mei 2010

Meneladani atau Mengekori?

'Kita hanya pengekor'
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/05/04

Industri buku negara tidak mampu jadi penentu corak bacaan rakyat

KEMAJUAN sesebuah negara dan masyarakat biasanya dilandasi khazanah penerbitan yang kukuh, tetapi malangnya di Malaysia, meskipun sudah lebih setengah abad merdeka, industri buku negara tidak menunjukkan kemungkinan mampu menjadi penentu corak bacaan rakyat.
Industri buku tempatan hanya boleh sekadar berbangga dengan hasil mencontohi unsur yang dibawa karya penulis luar seperti dapat dilihat melalui kehadiran novel Islami, chicklit (novel wanita bujang) dan pelit (jurnal peribadi).
Malah dari segi penerbitan, pergantungan kepada negara maju khususnya Barat dapat dilihat melalui kehadiran beberapa penerbit multinasional di Malaysia seperti Addison Wesley (Longman, Prentice-Hall) dan McGraw-Hill yang membolehkan modal asing disalurkan ke dalam industri buku.

Tidak dinafikan, kehadiran modal asing banyak menyumbang kepada kepesatan dunia penerbitan tempatan khususnya dalam bidang yang mendapat pasaran, tetapi kehadiran mereka tidak membina kepengarangan tempatan dan pengembangan bahasa Melayu.

Ia dilakukan atas pertimbangan meraih keuntungan untuk buku pasaran bahasa Inggeris sedangkan pembaca muda dahagakan karya kreatif yang membawa kelainan bagi membolehkan mereka terus mengulit buku kreatif.

Pengurus Pemasaran KarnaDya Solutions Sdn Bhd (karnaDya), Faiz Al-Shahab, berkata fenomena itu perkara normal pada ketika ini kerana budaya membaca di negara ini masih pada peringkat awal dan memerlukan idea luar untuk menarik perhatian pembaca agar ia dapat berkembang.
“Sebahagian daripada fenomena ini mungkin berpunca daripada sindrom mengagungkan karya Barat. Penyakit ini tidak hanya berlaku kepada rakyat Malaysia, tetapi kebanyakan masyarakat Asia kerana media menonjolkan orang Barat lebih maju.

“Persepsi ini juga akan dirasai dalam dunia penulisan, meskipun hakikatnya industri buku negara ada ramai penulis kreatif, malangnya, kebanyakan daripada mereka tidak terfikir untuk berbuat demikian kerana menganggap bidang ini tidak mendatangkan keuntungan kepada penulis." katanya.

Kebebasan untuk berfikir juga dikatakan faktor yang boleh memberangsangkan saluran idea, tetapi undang-undang negara mengehadkan pemprosesan sedemikian sehingga penggunaan media seperti blog dan laman web, menjadi lebih popular untuk tujuan sebegini berbanding buku.

Beliau menekankan pentingnya bengkel penulisan diadakan secara tekal oleh swasta mahupun kerajaan untuk menyampaikan kepentingan membina keyakinan diri di kalangan penulis dan pada masa, pihak bertanggungjawab perlu mengkaji dasar pendidikan rendah.

“Mendekati pelajar sekolah rendah dalam membina keyakinan kepada produk tempatan perlu. Bagi mereka yang pernah membaca buku tempatan kontemporari, mereka tidak segan membacanya kerana mereka tahu buku ini ada nilai pengetahuan dan sentuhan hiburan menjadikannya menarik. “Masalah memandang rendah kepada produk tempatan hanya timbul pada mereka yang langsung tidak suka membaca karya Melayu, tetapi saya percaya akan tiba masanya cetusan penulisan pengkarya tempatan akan menjadi rujukan masyarakat luar,” ujarnya.

Penulis karya Islami, Mohd Aswanizam Alias @ Imran Haaz menyifatkan fenomena itu berlaku kerana pasaran buku negara sedang membesar, tetapi masih belum cukup besar bagi penerbit tempatan untuk mencuba kaedah atau genre yang belum terbukti boleh membawa pulangan.

“Justeru tidak hairanlah penerbit tempatan terpaksa mencedok idea penerbit luar selagi genre yang mahu dicubanya belum terbukti membawa pulangan memuaskan. Inilah antara punca mengapa sesuatu idea baru dari luar akan segera dicontohi, selepas terbukti menguntungkan.

“Pemerintah boleh memberi sumbangan dengan memberi bantuan dalam bentuk dana kepada penerbit tempatan bagi membolehkan mereka bernafas dengan lebih lapang dalam ‘padang permainan’ sempit yang membabitkan ramai pemain,” jelasnya.

Baginya, jika industri filem yang boleh menghancurkan nilai sosiobudaya tempatan boleh dibantu, mengapa pula perkembangan bidang penulisan yang bakal melahirkan insan bermutu pada masa depan dipandang sepi.

“Negara kita memiliki ramai penulis kreatif lagi berbakat yang menunggu ruang dan peluang untuk diketengahkan. Masalahnya, sesetengah pihak yang diberi amanah untuk membuat keputusan dalam pemilihan judul buku bakal terbit, masih menggunakan acuan pemikiran yang lama.

“Ramai penulis blog yang ada keupayaan menulis yang boleh dieksploitasi untuk menghasilkan sesuatu yang lebih segar dan kreatif, tetapi sistem tradisional, penerbit lebih mudah menerima karya yang ditulis penulis yang sudah ada nama,” katanya.

Editor Kanan PTS Islamika Sdn Bhd, Rohidzir Rais, berkata ada perbezaan besar antara perbuatan meniru dan mencontohi iaitu pertama, menyebabkan si pelaku sentiasa ketinggalan di belakang, manakala kedua membantu pelakunya sedar dan berusaha memajukan diri dan syarikatnya.

Sikap mencontohi unsur karya asing seperti kejayaan genre novel Islami dilihatnya sebagai pembaharuan yang sangat diperlukan dalam industri buku negara, selagi ia tidak membawa kepada perkara negatif seperti merosakkan minda masyarakat tempatan.

“Kita perlu mencontohi genre terbaru buku asing kerana formula kejayaan penerbitan yang diterbitkan sedekad dua lalu, masih mahu digunakan untuk dekad ketiga sehingga pembaca sudah mula muak dan mencari sesuatu yang lebih segar dan baru.

“Bagaimanapun, jika kita hendak meniru unsur sihir seperti dalam Harry Porter, pontianak dan serigala jadian dalam karya Twilight, sudah semestinya tidak perlu diberi sokongan kerana ia melanggar nilai kepercayaan agama dan boleh mengganggu akidah pembaca,” jelasnya.

Rohidzir berkata, mencontohi kejayaan seseorang tidak salah, tetapi perlu diselitkan azam untuk melakukan pembaharuan dengan mencetuskan idea baru pada masa hadapan agar industri buku negara lebih proaktif.


“Yang kita harapkan ialah agar dunia penerbitan kita dapat menjadi wahana bermakna terhadap pembinaan negara bangsa, di samping menjadi senjata yang dapat menangkis pelbagai serangan minda dan nilai yang cukup sengit dalam era globalisasi ini,” tegasnya.