Kamus untuk Pencinta Bahasa Syurga
Kepelbagaian Bahasa Merencah Pengetahuan Bangsa
Bahasa mencerminkan ketinggian suatu bangsa. Apabila bahasa sendiri diinjak dan dibakulsampahkan, kemuliaan bangsa tersebut juga sudah hilang. Dari segi lain pula, kepedulian bangsa memelihara bahasanya di samping tidak cuak menguasai pelbagai bahasa lain, dapat meningkatkan keintelektualan sebuah masyarakat. Kerana dengan bahasa-bahasa yang dikuasai ini, mereka ibarat membuka pintu kepada pelbagai ilmu pengetahuan daripada bangsa-bangsa lain seluruh dunia.
Bahasa-bahasa dunia seperti bahasa Inggeris, Perancis, Mandarin, Sepanyol dan Arab, memberikan ruang yang tidak terbatas untuk mengukuhkan hubungan dua hala, meningkatkan usaha sama ekonomi, bertukar-tukar kepakaran dan kemahiran, serta meredakan krisis antara negara. Penguasaan lebih daripada satu bahasa juga meningkatkan nilai seorang individu, sama ada dia adalah seorang pelajar, pekerja atau pemimpin.
Medium Hubungan Sang Hamba dan Sang Pencipta
Bahasa Arab adalah medium perantara antara Sang Pencipta dan makhluk-makhluk-Nya. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”
(Surah Yusuf 2: 12)
Justeru itu, mereka yang hendak mendalami agama Islam dengan lebih mendalam dan tepat, tidak dapat mengelak daripada mempelajari bahasa Arab. Sayangnya kebanyakan Melayu Muslim di Malaysia merasa selesa dengan ilmu terjemahan yang ada hingga meremehkan kepentingan bahasa Arab. Sudah tentu ilmu yang diterjemahkan tidak 100% menepati maksud dan kehendak penuturnya, malah mungkin langsung tersasar. Keadaan ini berlainan sekali bagi mualaf yang baru memeluk Islam. Mereka merantau jauh dari negara mereka untuk mengikuti kelas bahasa Arab di negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan dan Syria. Hanya dalam masa setahun mereka dapat menguasai bahasa syurga ini dan sekali gus memberikan mereka akses luas untuk memahami al-Quran, al-Sunnah, fikah dan ilmu Islam lain dari sumbernya yang asal, bahasa Arab. Ini menjadikan “saudara-saudara baru” ini Muslim asli dan kita pula sebagai “Muslim terjemahan!”
Bahasa Arab Bahasa Ilmu
Bahasa Arab adalah bahasa kelima paling meluas penggunaannya di dunia selepas Bahasa Inggeris. Menurut kajian Encyclopedia Encarta, dianggarkan kira-kira 422,000,000 orang penduduk bumi di 42 buah negara, bertutur dalam Bahasa Arab. Ini bererti bahan-bahan bacaan dalam bahasa ini juga banyak, sama ada dalam bentuk bercetak seperti buku, majalah, akhbar dan jurnal. Lebih-lebih lagi material dalam bentuk elektronik seperti radio dan televisyen dan media baru (new media) seperti Internet. Ini membuka ruang sepenuhnya kepada mereka yang menguasai Bahasa Arab untuk meneroka pelbagai ilmu pengetahuan dan maklumat yang tidak terbatas. Tidak keterlaluan jika dikatakan penguasaan Bahasa Arab adalah antara kunci utama memperoleh pengetahuan.
Ini bukanlah perkara yang menghairankan. Pada Zaman Pertengahan, bahasa ini pernah menjadi bahasa perantaraan dalam pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik, falsafah dan kebudayaan. Sebahagian besar buku-buku ilmiah pada masa itu ditulis dalam bahasa Arab. Tidak hairanlah bagaimana Bahasa Arab memberikan pengaruh yang besar dalam pembentukan dan penambahan kosa kata banyak bahasa dunia. Malah ia juga menjadi asas kepada pembentukan tatabahasa dan tulisan bahasa-bahasa lain yang asalnya tidak mempunyai sebarang sistem yang tersusun. Antara bahasa-bahasa yang mendapat manfaat Bahasa Arab ialah Bahasa Sepanyol, Punjabi, Gujarat, Portugis, Kurdis, Sindhi, Pushto, Parsi, Swahili, Urdu, Hindustan, Turki, Rohingya, Benggali, Tagalog, Indonesia dan Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu sendiri dibentuk berasaskan fonetik dan tatabahasa Arab. Malah tulisannya juga digunakan sebagai tulisan bahasa Melayu yang digelar tulisan Jawi. Keagungan tulisan Jawi dan bahasa Melayu ini berada di kemuncaknya apabila dijadikan bahasa dan tulisan rasmi kerajaan Melaka. Para pelajar yang sedang mempelajari bahasa hebat ini seharusnya merasa bangga dan bertuah kerana diberikan kesempatan bercakap, membaca dan menulis dalam bahasa agung ini. Justeru itu, adik-adik pelajar dan siapa sahaja yang mencintai bahasa ini hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasainya.
PINTAR SOLEH, Kamus untuk Semua
Menghargai sumbangan besar Bahasa Arab dan tulisan Jawi ini, penerbit terkemuka, Telaga Biru Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah kamus bergambar yang menggunakan kedua-duanya sebagai medium utama, tanpa menganaktirikan tulisan rumi dan bahasa Inggeris. Kamus Bergambar Pintar Soleh dipersembahkan dalam bentuk ilustrasi warna-warni yang menarik. Ia menggabungkan Bahasa Arab, Bahasa Melayu (jawi), Bahasa Melayu (rumi) dan Bahasa Inggeris. Walau pun terdapat banyak kamus bergambar lain di pasaran tetapi semuanya menggunakan konsep yang sama yang berasaskan gambar berwarna dan perkataan. Kamus Bergambar Pintar Soleh sebaliknya membawa pendekatan berbeza dan lebih menyeluruh.
Keunikan kamus ini ialah ia dimuatkan dengan doa, zikir dan selawat yang sesuai diamalkan pada hampir setiap muka suratnya. Ini memberikan nilai tambah yang tinggi, kerana di samping menghafaz perkataan, pembaca juga boleh menghafaz doa, selawat dan zikir ini. Ia ibarat sebuah buku himpunan doa dan zikir di dalam sebuah kamus.
Dari segi perkataan yang disusun juga menampakkan perbezaan yang ketara dengan kamus-kamus lain di pasaran. Di dalam kamus ini, setiap kata nama Arabnya disertakan dengan perkataan jamak. Mencari jamak bagai setiap perkataan mufrad dalam Bahasa Arab adalah sesuatu yang sangat sukar. Justeru pujian harus diberikan kepada penyusun kamus ini yang menjalankan usaha cemerlang menghimpunkan semua jamak kata nama ini. Ini adalah kamus bergambar pertama di Malaysia yang memasukkan kata jamak untuk setiap mufrad.
Bersesuaian dengan namanya, Pintar Soleh, kamus ini juga sangat berhati-hati memaparkan ilustrasinya. Setiap lukisan senario dalam kamus ini memaparkan unsur-unsur Islamik seperti watak wanita dewasanya digambarkan sebagai memakai tudung dan watak-watak lain juga berpakaian sopan. Ini memberikan teladan yang baik kepada pelajar.
Bagi memudahkan pelajar, perkataan-perkataan dalam kamus ini tidak disusun mengikut abjad, yang menyusahkan. Tetapi ia mengikut suasana dan tempat tertentu, seperti di sekolah, restoran, masjid, kampung, taman bunga, pasar dan lain-lain. Susunan seperti ini memudahkan pelajar mencari semua perkataan yang dikehendaki dalam satu subjek dengan mudah tanpa perlu menyelak sehelai demi sehelai halaman. Kamus ini menyediakan 17 tema utama di samping sub tema yang relevan dengan penggunaan harian. Susunan tema seperti ini juga sangat sesuai untuk pelancong-pelancong yang hendak ke negara-negara Arab seperti jemaah haji dan umrah, atau pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke sana.
Selain perkataan kata nama, kamus ini juga memuatkan kata kerja yang sering digunakan seharian. Sebanyak 150 kata kerja terdapat di dalam kamus ini, dan yang lebih menarik setiap perkataan ini disertakan dengan contoh ayat yang standard sebagai panduan kepada pelajar. Tidak dapat dinafikan pecahan kata kerja dalam pembentukan ayat adalah aspek paling sukar dalam Bahasa Arab. Justeru kamus ini menyelesaikan masalah ini dengan contoh-contoh ayat ini. Guru-guru yang mengajar Bahasa Arab di sekolah, boleh menggunakan ayat-ayat ini sebagai latihan pembentukan ayat kepada murid-murid. Pelajar juga boleh menggunakannya untuk latihan membina ayat.
Tidak cukup dengan itu, kamus ini juga mengandungi nota ringkas dan padat ilmu sorof. Pecahan kata kerja masa kini, masa silam dan masa hadapan disenaraikan dengan lengkap, juga berserta contoh ayat. Paling menarik dalam bab ini ialah penggunaan tapak tangan sebagai medium mudah menghafaz semua pecahan ini. Teknik tapak tangan ini sebenarnya telah lama digunakan oleh tuan-tuan guru dalam pengajian pondok-pondok di seluruh negara sejak berpuluh-puluh tahun dahulu. Dan kini rahsia teknik ini didedahkan di dalam Kamus Bergambar Pintar Soleh.
Selain ilmu bahasa, kamus ini juga menjadi wadah gabungan multi disiplin iaitu:
· Geografi, Matematik, Sains, Tata Negara (Sivik).
· Komunikasi harian;
· Kemahiran membina ayat;
· Kesusasteraan;
· Isu semasa.
Kamus ini menyediakan senarai 163 negara dunia berserta bendera, 14 negeri di Malaysia berserta peta, bendera dan jata, 20 institusi pengajian tinggi tempatan berserta logo, dan senarai 27 kementerian Malaysia berserta logo. Senarai nama-nama khas ini jarang terdapat di dalam kamus-kamus lain dan menyukarkan pelajar mencarinya.
Kesimpulannya, Kamus Bergambar Pintar Soleh ini adalah hasil cemerlang dalam bidang perkamusan negara. Kamus ini mesti dimiliki ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang mengikuti kelas j-QAF di sekolah kebangsaan. Kandungannya yang merangkumi sukatan pelajaran j-QAF daripada darjah satu hingga darjah lima, boleh digunakan sepanjang pelajar berada dalam sekolah rendah. Ibu bapa atau guru tadika juga boleh menggunakan kamus ini sebagai buku panduan memperkenalkan perkataan baru kepada anak-anak dan pelajar dalam Bahasa Arab, Inggeris, Melayu dan tulisan jawi. Jika tidak tahu bagaimana menggunakan kamus ini atau bagaimana hendak mengajar anak menggunakan kamus ini, jangan risau. Panel penyusun kamus ini telah menyediakan kaedah menggunakan kamus ini mengikut tahap berbeza. Bermula daripada kanak-kanak satu tahun hingga empat tahun, lima hingga 12 tahun dan dewasa. Panduan untuk guru juga disediakan.
Bagi pelajar sekolah agama, pelajar pondok, pelajar universiti atau orang awam yang sudah mempunyai asas Bahasa Arab lupa, kamus ini dapat membantu meningkatkan pemahaman dan perbendaharaan kata Arab.
Dapatkan Sekarang... Hubungi Rohidzir Rais - 019-5452750 @ khatamirais@yahoo.com