Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB

">

Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB (part 2)

">

Isnin, 30 Mac 2009

Fiqh Semasa


Mukjizat Tuhan pada
DARAH WANITA

Ritma Darah Indikator Kesihatan Wanita

Sungguh menakjubkan bagaimana wanita boleh mengeluarkan tiga jenis darah yang berbeza daripada saluran yang sama. Selain itu setiap darah ini pula mempunyai nama dan hukum yang berbeza. Masa keluarnya darah-darah ini juga berbeza berdasarkan keadaan kesihatan individu wanita tersebut. Mungkin kaum lelaki sukar memahami bagaimana wanita mengalami pendarahan setiap bulan tetapi tidak jatuh sakit atau meninggal dunia kerananya. Sebaliknya wanita merasa gusar apabila darah haid mereka tidak teratur.

Para ilmuwan Islam dan pakar perubatan mengesahkan ketiga-tiga darah ini, haid (mestruasi), istihadhah (lochia) dan nifas (metrorrhagia), mempunyai fungsi dan peranan yang besar kepada wanita. Mereka berpendapat melalui pemerhatian dan kajian bahawa wanita yang teratur pusingan haidnya setiap bulan adalah wanita yang sihat dan subur. Sedangkan wanita yang menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu setiap bulan adalah indikator kepada masalah kesihatan yang dihadapinya.

Selain menjadi medium transformasi seorang kanak-kanak perempuan kepada wanita dewasa, ia juga bertindak sebagai aras pengukur peningkatan tanggungjawab dalam aspek ibadat. Wanita yang mendapati dirinya haid, bertanggungjawab melakukan semua ibadat yang diwajibkan ke atas orang yang mukalaf seperti solat, puasa, haji dan sebagainya.


Kitaran Haid Boleh Berubah Aturannya

Fungsi kitaran haid adalah untuk menghasilkan telur (ovum) yang matang daripada ovari dan menyediakan lapisan dalam rahim untuk implantasi embrio. Jika tidak berlaku persenyawaan, telur akan mengalami degenerasi dan dibuang bersama bahan-bahan lain yang keluar daripada tubuh wanita melalui saluran vagina. Kerana itu, proses haid sangat penting kerana ia membuang keluar darah, mukus/ lendiran dan sel-sel yang sudah mati.

Justeru, maklumat sains perubatan tentang haid ini perlu diteliti dengan rapi sebelum sebarang hukum fiqah dikeluarkan. Contohnya, para fuqaha sendiri berbeza pendapat tentang tempoh mula seorang perempuan didatangi haid ini. Ini kerana berdasarkan kajian perubatan, permulaan haid bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan status nutrisi serta pemakanan.

Dengan itu secara tidak langsung, aliran darah haid sebenarnya menjadi ujian perubatan alamiah untuk menentukan kesihatan wanita setiap bulan. Sementara itu, wanita yang mengalami pendarahan di luar waktu haid juga menunjukkan masalah kesihatan. Darah ini dikenali darah istihadhah atau darah penyakit.

Menentukan jenis darah yang keluar daripada seorang wanita adalah tanggungjawab peribadinya. Ini kerana darah yang keluar menentukan sama ada dia wajib menjalankan ibadat seperti biasa atau haram melakukannya. Wanita Malaysia secara umumnya menggunakan kaedah kebiasaan setiap bulan untuk menentukan sama ada darah yang keluar adalah haid atau istihadhah. Apabila darah keluar melebih tempoh paling lama haid (15 hari mengikut mazhab Syafie) barulah wanita ini mula bersolat kerana menganggapnya sebagai darah istihadhah. Bagaimana pun, wanita moden kini berhadapan dengan perubahan corak kehidupan, pemakanan, suhu persekitaran berbeza hingga mempengaruhi ritma haid mereka. Penggunaan pil perancang atau suntikan pencegah kehamilah juga menyebabkan hormon tubuh tidak seimbang. Kesannya aturan haid tidak menentu hingga mengelirukan wanita untuk menentukan darah haid atau pun istihadhah. Keadaan yang sama juga berlaku kepada wanita yang pertama kali kedatangan haid dan tidak mempunyai kebiasaan. Oleh itu, kaedah membezakaan sifat-sifat darah lebih praktikal.


Kaedah Membezakan Darah Istihadhah dan Darah Haid

Meneliti sifat-sifat darah (Tamyiz) adalah kaedah utama yang lebih berkesan membezakan darah haid dan istihadhah. Kaedah ini memerlukan wanita meneliti ciri-ciri darah yang keluar. Sekiranya darah tersebut kehitaman, bererti ia adalah darah haid, tetapi apabila ia berubah menjadi warna merah ia adalah darah istihadhah. Sekiranya seorang perempuan dapat membezakan darah yang keluar sama ada darah haid atau istihadhah melalui pemerhatian terhadap kebiasaannya, dia boleh menggunakan kaedah ini untuk menentukan hukum. Ini berdasarkan apa yang berlaku ke atas Fatimah binti Hubaisy r.ha. ketika didatangi darah istihadhah. Rasulullah s.a.w. memberikan panduan untuk menklasifikasikan darah haid atau istihadhah :

‏‏Maksudnya: “Jika darah haid, ia berwarna hitam yang biasa dikenali. Jika darah haid itu keluar hendaklah kamu berhenti dan jangan kamu menunaikan solat. Jika ia (darah) yang lain (bukan darah haid), hendaklah kamu berwuduk dan bersolat, justeru ia adalah darah yang keluar daripada saluran darah (darah istihadhah).”

(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud Taharah:)

Sebagai contoh, seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan, tetapi pada hari kesepuluh kelihatan perbezaan sifat darah:

  • Sehingga hari kesepuluh darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu ia berwarna merah. Darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadhah.
  • Sehingga hari kesepuluh darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Maka darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadhah.
  • Sehingga hari kesepuluh darah memiliki bau manakala selepas itu tiada lagi bau. Maka darah yang berbau adalah haid, darah yang tidak berbau adalah istihadhah.

Membezakan Darah Haid dan Istihadhah Melalui Warna Darah

DARAH KUAT


Dianggap Sebagai Darah Haid


Warna Darah

DARAH LEMAH


Dianggap Sebagai Darah Istihadhah

Warna Darah

Merah Pekat (Kehitaman)


Merah


Merah


Merah Muda


Merah Muda


Kuning


Kuning


Keruh






Membezakan Darah Haid dan Istihadhah Berdasarkan Kepekatan dan Bau Darah

Keadaan Darah Kuat

Keadaan Darah Lemah

Darah Kental atau Likat

Darah Cair

Darah Berbau Kuat

Darah Kurang Baunya



Berdasarkan kaedah ini wanita mempunyai lebih banyak masa suci untuk beribadat daripada kaedah kebiasaan setiap bulan. Malah sekiranya suatu hari nanti sebuah alat menguji darah yang keluar daripada wanita dicipta hingga wanita dapat mengenal pasti dengan lebih tepat, dia hendaklah berpegang kepada keputusan alat ini. Perubahan seperti ini tidak pelik dalam ilmu fiqah, Imam Syafie sendiri mengubah pendapatnya tentang tempoh haid wanita di Iraq dan Mesir. Ini berlaku kerana perbezaan uruf tempat dan uruf teknologi.

Jumaat, 6 Mac 2009

Metafora al-Quran

USTAZ ANJING!!!



“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dia dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.” (Surah al-‘Aaraaf 7 : 175-177)

Sejarah Anjing

Sepanjang sejarah kejadian manusia dan perkembangan Islam di serata pelosok rantau, para rasul, para nabi dan para alim ulama sentiasa mendapat penentangan daripada golongan aristokrat yang ‘berdarah biru’ dan pemimpin-pemimpin yang berkuasa. Penentangan ini adalah sunah semula jadi yang telah terjadi dan akan terus berlaku. Malangnya di sebalik perbalahan dua penjuru ini, sejarah juga mencatatkan penglibatan golongan ketiga yang dijadikan kambing hitam oleh golongan sesat ini sebagai senjata rahsia menewaskan tentera Allah.

Kisah Bala'm bin Baau'ra` seorang alim yang sentiasa dimakbulkan doanya tetapi menjual agamanya dengan menjadi 'anjing' kaumnya dan mendoakan kebinasaan Nabi Musa a.s. Sejarah juga berulang pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. apabila Umaiyyah bin Abi as-Solat yang diberikan ilmu pengetahuan tinggi dan mengetahui tentang kenabian Muhammad s.a.w. tetapi mati dalam keadaan kufur. Begitu juga dengan Abu ‘Aamir bin al-Nu’maan bin Soifi yang digelar Baginda sebagai seorang yang fasik kerana mengingkari kerasulan Baginda walau pun dia seorang rahib yang mengetahui tentang kedatangan seorang nabi akhir zaman. Tidak cukup dengan itu, dia juga menjadi ‘gunting dalam lipatan’ apabila bekerja sama dengan musuh-musuh Islam untuk menghancurkan orang Mukmin.

Anjing Kurap

Oleh itu, dalam ayat 175 surah al-A’raaf, Allah s.w.t. memerintah kekasihnya Nabi Muhammad s.a.w. agar memberikan peringatan kepada umatnya tentang golongan ketiga yang akan digunakan musuh untuk menjatuhkan mereka. Ini adalah golongan ‘duri dalam daging’ yang sangat berkuasa untuk menjatuhkan gerakan Islam, kerana mereka bukan orang Islam biasa yang bertaklid. Sebaliknya merekalah golongan ulama yang sangat berpengaruh dan menjadi rujukan masyarakat. Mereka adalah bijaksana Islam yang mempunyai Ma dan PhD dalam pelbagai bidang pengajian Islam. Tetapi malangnya segala ilmu agama yang mereka kuasai digadaikan demi mendapatkan harta kekayaan, pangkat kedudukan dan populariti. Oleh itu, apabila mereka dibeli oleh musuh Islam untuk mementang gerakan alim ulama, mereka menjadi senjata sulit paling berbahaya.

Allah s.w.t. mengecam ustaz-ustaz murahan yang melacurkan ilmu mereka dengan sekeras-keras kecaman. Dalam ayat berikutnya, Allah s.w.t. mengumpamakan mereka yang tamak terhadap dunia dan haloba dengan kemasyhuran sebagai anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya. Jika anda perhatikan, anjing sentiasa menjulur-julurkan lidahnya apabila dihalau orang, tetapi jika dibiarkan ia tetap juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah lagak ustaz anjing ini, apabila diberikan habuan, mereka meminta dengan lebih banyak tidak ubah seperti anjing kurap.

Sebagaimana tabiat biasa anjing yang suka makan sampah sarap yang kotor dan menjilat punggung anjing lain, demikian juga halnya dengan ustaz-ustaz anjing ini yang lahap terhadap ‘sampah sarap’ yang diberikan penguasa fasik untuk kesenangan dunia. Malah mereka juga tidak segan-segan menjilat kaki pemerintah munafik untuk mengampu bagi mendapatkan kedudukan lebih tinggi.

Anjing Bercawat Ekor

Ini adalah kecaman Allah paling keras dan paling hina ke atas alim ulama. Sememangnya kecaman ini berasas dan tepat kerana fitnah yang ditimbulkan mereka terlalu besar. Bayangkan, ketika ulama lain melaungkan seruan jihad untuk membela agama Allah dan mengimpikan syahid, anjing-anjing ini memutarbelitkan istilah jihad ini dengan skop yang lebih kecil. Dengan itu lahirlah konsep jihad ekonomi, jihad pertanian malah jihad politik dengan mengundi parti yang berasaskan kebangsaan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga menggunakan (baca – menyalahgunakan) pelbagai ayat al-Quran dan hadis untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa jihad tidak lagi relevan pada zaman teknologi ini, malah menurut anjing-anjing bercawat ekor ini, jihad melawan nafsu lebih besar!

Dengan kekuasaan dan kekayaan yang dimiliki oleh ‘tuan anjing’ ini, anjing-anjing ini diberikan jawatan agama yang tinggi, slot-slot khas dalam televisyen, dilantik menjadi editor dan kolumnis akhbar dan majalah, dan dijadikan pemimpin masyarakat. Dengan segala fasilitet yang disediakan, sudah tentu salakan mereka lebih kuat dan bertambah nyaring. Mereka menyalak begitu kuat dan sumbang sehingga menghalalkan pelacuran kerana darurat, mengharuskan judi atas nama ekonomi, melunakkan istilah rasuah yang jijik dengan nama bunga yang indah, membiarkan perzinaan dan pergaulan bebas dengan meletakkannya sebagai kesalahan ibu bapa atau individu semata-mata.

Anjing Menyalak Bukit

Rentetan itu, masyarakat yang masih totok dengan al-Quran dan ilmu-ilmu agama, terpinga-pinga dalam kekeliruan dan tidak tahu siapa yang harus diikuti. Maka tidak hairahlah ketika beribu-ribu lepasan agama yang dihasilkan setiap tahun daripada IPT tempatan serta ditambah pula ustaz dan ustazah yang pulang daripada Jordan, Syiria, Madinah dan Mesir, masyarakat Islam Malaysia makin jauh daripada agama yang sebenar.

Kita tertanya-tanya, sebegitu ramai pakar fiqah, pakar hadis, pakar tafsir dan pakar bahasa Arab yang keluar setiap tahun daripada universiti-universiti tersohor dunia, ke manakah mereka? Ke mana perginya rakan-rakan Azhariyun yang suatu masa dahulu pernah menggegarkan piramid dengan seruan jihad? Atau apakah setelah diberikan gaji bulanan selesa dan jawatan berkerusi empuk, lalu seruan yang pernah dilaungkan dahulu menjadi seperti anjing menyalak bukit!

Anjing Jilat Tahi

Pada ayat 177 surah al-‘Araaf, Allah s.w.t. menjelaskan sekali lagi bahawa perumpamaan golongan ilmuwan agama yang bersikat tamak seperti anjing menjelirkan lidahnya adalah seburuk-buruk dan sehina-hina contoh. Justeru itu, artikel ini ditulis bagi menyahut perintah Allah agar memberikan peringatan kepada golongan ini. Sebagaimana kerasnya amaran Allah dalam ayat-ayat di atas, begitu juga penulis menggunakan uslub yang sama. Ibarat kata pepatah, ‘siapa makan cili dia yang merasa pedas’.

Penulis berharap tulisan ini menjadi peringatan tegas kepada rakan-rakan daripada kalangan alim ulama, ustaz-ustaz, tok-tok guru dan para profesor, lebih-lebih lagi kepada diri penulis sendiri, agar mencerminkan diri dan bertanya: “Apakah ana ini seekor ANJING?”