Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB

">

Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB (part 2)

">

Jumaat, 20 Jun 2008

SEL STEM

SEL KEHIDUPAN
Hukum Penggunaan Sel Stem untuk Rawatan Kesihatan


1. Saya pernah mendengar tentang rawatan dengan menggunakan sel stem manusia. Apa itu sel stem?

Sel stem atau sel induk adalah sel istimewa yang memiliki keupayaan untuk berkembang (membahagi) dalam tempoh yang tidak tetap dan boleh berubah menjadi pelbagai jenis sel yang khusus. Keupayaan yang dikenali sebagai keplastikan (plasticity) ini, adalah sifat biasa bagi telur-telur yang telah disenyawakan dan sel-sel awal embrio (juga dikenali sebagai blastomer). Telur yang telah disenyawakan dan mempunyai kebolehan untuk membentuk semua sel di dalam tubuh, mempunyai keupayaan perkembangan keplastikan yang paling tinggi. Oleh itu, ia bersifat totipoten, iaitu ia boleh berkembang menjadi embrio yang lengkap apabila diasingkan daripada kumpulan blastomer. Sel stem terbahagi kepada dua, iaitu sel stem embrio dan sel stem orang dewasa. Apabila ditempatkan di dalam kultur, sel-sel stem ini berkembang dan mula membahagi, dan para saintis kini sedang berusaha untuk memaksa mereka menghasilkan jenis-jenis sel yang boleh diguna pakai bagi menyembuhkan pelbagai penyakit.


Sel stem manusia dewasa ialah satu sel tidak matang di antara sel-sel yang telah berubah di dalam satu tisu atau organ. Ia boleh memperbaharui dirinya, dan dapat berubah untuk menghasilkan jenis-jenis sel tisu atau organ yang khusus. Peranan utama sel stem dewasa ini di dalam organisma hidup adalah untuk mengekalkan dan memperbaiki tisu-tisu tempat mereka berada. Sebahagian saintis menggunakan istilah sel stem somatik (somatic stem cell).
Sel stem embrio pula adalah sel-sel stem yang diambil dari embrio-embrio yang terbentuk dari telur-telur yang telah disenyawakan di luar rahim (in vitro), di klinik-klinik persenyawaan luar rahim dan kesuburan wanita, dan kemudian didermakan untuk tujuan penyelidikan dengan mendapat keizinan dari penderma. Ia tidak diambil dari telur-telur yang disenyawakan di dalam rahim wanita. Embrio-embrio yang diambil sel stemnya, adalah yang berusia empat atau lima hari dan ia berbentuk seperti sebiji bola bersaiz mikroskopik yang berlubang di tengahnya.

(rujuk National Institute of Health, “Stem Cell Basics”, Stem Cell Information, (Online), http://stemcells.nih.gov/info/basics/basics5.asp)

2. Saya dan isteri telah melakukan Persenyawaan Luar Rahim (IVF) sehingga mendapat seorang cahaya mata. Setelah itu, kami dihubungi oleh syarikat yang menjalankan proses ini untuk meminta kebenaran menggunakan lebihan embrio kami untuk tujuan penyelidikan sains. Kami berminat untuk mendermakannya bagi tujuan tersebut, tetapi adakah Islam membenarkannya?

Harus puan dan suami mendermakan embrio tersebut untuk tujuan perubatan selagi ia belum sampai ke peringkat alaqah (blastocyst). Lagi pun, embrio-embrio lebihan daripada proses IVF ini hanya akan dibuang. Tetapi, perlu dipastikan bahawa embrio-embrio ini tidak ditanam di dalam rahim perempuan lain.

(rujuk Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, no. fatwa P.U. 13, diwartakan pada 25 Mei 2006)


3. Apakah Islam membenarkan pengambilan sel stem dewasa untuk merawat seorang pesakit yang sangat memerlukannya?

Islam membenarkan penggunaan atau perpindahan sel stem seorang manusia kepada manusia lain untuk tujuan perubatan selagi prosedur ini tidak memudaratkan kedua-dua belah pihak, iaitu penderma dan penerima. Namun begitu, Islam sama sekali mengharamkan penglibatan sebarang ganjaran material daripada pemberian ini. Penggunaan sel stem dewasa yang paling biasa kita dengar ialah perpindahan sumsum tulang.


4. Saya adalah seorang pesakit jantung yang kronik. Menurut pakar saya tidak lagi sesuai untuk sebarang rawatan konvensional lain seperti angioplasti atau pembedahan pintasan koronari arteri. Oleh itu, mereka mencadangkan saya menjalani terapi perpindahan sel stem. Apa pandangan Islam dalam hal ini?
Penggunaan sel stem dewasa yang diambil daripada satu organ dan dipindahkan ke bahagian yang memerlukan seperti jantung, adalah satu penemuan terkini bidang perubatan. Terapi sel stem ialah sekumpulan prosedur baru dan teknologi yang memperkenalkan sel yang berkeupayaan untuk menjana atau menggantikan sel-sel yang berpenyakit dengan sel-sel baru yang sihat dan boleh berfungsi. Seorang lelaki, Allagara Arumugum, (lihat gabar) yang juga mengalami masalah sama dengan anda dan telah berjaya sembuh melalui terapi ini. Oleh itu, Islam tidak mempunyai sebarang halangan dalam penggunaan sel stem dewasa, sama ada daripada orang lain atau daripada organ lain pesakit, selagi ia terbukti berkesan dan tidak memudaratkan berdasarkan pandangan mereka yang pakar dalam bidang ini.



5. Saya terbaca tentang penggunaan embrio yang disenyawakan menggunakan sperma dan ovum yang didermakan atau dijual untuk tujuan perubatan dan penyelidikan. Perkara ini berlaku di barat. Apakah Islam membenarkan perbuatan ini?

Pertama perlu dijelaskan bahawa Islam mengharamkan perdagangan benih (sperma dan ovum) kerana ia adalah perbuatan yang jelik dan menghina kesucian manusia. Oleh itu, penggunaan embrio yang disenyawakan dengan teknologi Somatic Cell Nuclear Transfer (SCNT) semata-mata untuk tujuan kajian atau perubatan adalah haram.
(rujuk Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, no. fatwa P.U. 13, diwartakan pada 25 Mei 2006)

6. Saya pernah mendengar tentang penggunaan darah anak yang lahir untuk merawat anak tersebut jika ditakdirkan dia berpenyakit di masa hadapan. Apakah benar darah boleh digunakan untuk merawat penyakit dan apa pula pandangan Islam dalam isu ini?

Setahu penulis tidak ada sebarang rawatan yang melibatkan penggunaan darah anak yang baru lahir. Mungkin yang saudara maksudkan ialah penggunaan sel stem tali pusat bayi (Umbilical Cord Blood Stem Cell Transplant) untuk merawat beberapa penyakit kronik. Ia terbukti lebih berkesan daripada penggunaan sel stem dewasa (seperti sumsum tulang) kerana lebih jarang ditolak oleh sistem imun tubuh pesakit. Prosedur ini dilakukan dengan menyimpan bekukan sel-sel stem tali pusat bayi yang baru lahir sebagai langkah berjaga-jaga jika bayi tersebut dikesan mempunyai penyakit kronik yang tidak dapat disembuhkan dengan cara biasa, seperti sakit jantung, leukemia, kanser, kecacatan sistem imun, diabetes, kardiovaskular, Parkinson, dan lain-lain. (Gambar- sel darah tali pusat)

Jika saudara perhatikan, terdapat iklan tentang tawaran untuk menyimpan sel-sel stem bayi anda di dalam majalah, akhbar malah pada bas-bas mini sekitar Kuala Lumpur, dengan slogan “Stem Cell: Save Your Baby.” Syarikat-syarikat yang mengkomersialkan terapi ini sangat banyak di Amerika, kerana untuk menjalankan terapi ini, sel-sel stem hendaklah diambil dengan segera selepas kelahiran seorang bayi. Kemudian ia akan disimpan beku dengan baik untuk mengelakkannya daripada rosak. Di masa hadapan, sekiranya bayi tersebut diserang penyakit kronik, sel-sel inilah yang akan digunakan untuk melakukan terapi sel stem. Semakin lama disimpan, kosnya juga semakin meningkat.

Secara umumnya, Islam mengharuskan proses mengambil, menyimpan beku dan menggunakan sel-sel stem tali pusat untuk tujuan perubatan. Tetapi perlu dipastikan tidak wujud sebarang penipuan dalam urusan ini. Pembaca pernah membaca beberapa artikel oleh mereka yang pakar dalam bidang ini, yang mempersoalkan kewajaran menubuhkan bank sel stem dan mengaut keuntungan berlebihan dalam proses ini. Menurut mereka, syarikat-syarikat ini memutar belitkan fakta dan memberikan harapan terlalu tinggi terhadap ibu bapa untuk, kononnya, menyelamatkan anak mereka. Sedangkan penggunaan sel stem tali pusat masih dalam peringkat awal kajian dan belum benar-benar berjaya. Wallahu ‘alam


















7. Apa pandangan Islam tentang embrio, adakah ia dianggap manusia atau tidak? Persoalan ini saya kemukakan kerana terdapat banyak perdebatan dalam isu penggunaan embrio manusia untuk tujuan perubatan atau kajian.

Dr. Muzammil Siddiqi menjelaskan bahawa, syariah Islam membezakan di antara kehidupan yang sebenar (manusia) dan yang bakal menjadi hidupan (embrio). Begitu juga terdapat perbezaan yang nyata di antara ovum yang disenyawakan di dalam piring dan ovum yang disenyawakan di dalam rahim ibu. Walau pun diakui bahawa embrio adalah sangat bernilai, tetapi ia belum menjadi manusia. Ini karena, embrio-embrio yang digunakan untuk tujuan ini datangnya daripada klinik-klinik kesuburan yang melakukan Persenyawaan Luar Rahim (IVF) dan menghasilkan sejumlah embrio untuk tujuan ini. Apabila persenyawaan berjaya dilakukan, baki embrio-embrio ini akan dibuang. Oleh itu, jika dikatakan bahawa embrio-embrio ini adalah manusia, maka pemusnahan ini boleh dikira sebagai pengguguran atau mungkin pembunuhan!
(Dr. Muzammil Siddiqi, “An Islamic Perspective on Stem Cells Research”, laman Islamicity, http://www.islamicity.com/articles/Articles.asp?ref=IC0202-404)

Ulama Islam juga telah menggariskan perbezaan di antara peringkat-peringkat awal kehamilan (40 hari yang pertama) dan peringkat-peringkat yang kemudian. Misalnya Dr. Wahbah az-Zuhaily di dalam bukunya al-Feqh al-Islamiy Wa Adillatuh pada bab Jenayah Ke Atas Janin, menjelaskan bahwa jika seseorang itu memukul seorang wanita hamil pada perutnya atau belakangnya atau rusuknya atau kepalanya sehingga menyebabkan janinnya keguguran dan mati, maka wajib ke atasnya diyat janin. Iaitu lima ekor unta atau lima puluh dinar atau lima ratus dirham, yang bersamaan dengan separuh diyat orang dewasa. Ini memberikan alamat jelas bahawa Islam tidak menganggap janin atau embrio yang belum dilahirkan sebagai manusia. Ini juga dapat dilihat dengan jelas dalam pendirian Islam dalam kes pengguguran yang dibenarkan.
(Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaily, “Fiqh Islamiy Wa Adillatuh”, 7/5771, Damsyiq: Dar al-Fikr, 1997)



8. Walau pun, Islam tidak menganggap embrio sebagai manusia, tetapi ia adalah asal kejadian manusia yang perlu dihormati, seperti juga air mani. Jadi, apakah boleh ia dimusnahkan untuk tujuan perubatan atau penyelidikan?

Persoalan kedua pula berkaitan sama ada syariah membenarkan pemusnahan embrio untuk mendapatkan sel stemnya bagi kegunaan penyelidikan dan perubatan. Sebagaimana yang telah dijelaskan, sel-sel stem telah didapati mempunyai potensi yang cemerlang untuk mengubati pelbagai penyakit. Tambahan pula, penyakit-penyakit tersebut adalah yang sangat kronik yang membawa kepada kematian dan peratusan mereka yang menderitanya juga makin meningkat setiap hari di seluruh dunia, seperti penyakit jantung, diabetes, Parkinson, Alzheimer, kecederaan tulang belakang dan lain-lain. Namun begitu potensi ini hanya boleh dicapai dengan melakukan lebih banyak penyelidikan. Dan penyelidikan ini hanya dapat dijalankan dengan adanya embrio-embrio yang diambil dari klinik-klinik kesuburan.

Ini karena mencari rawatan dan berubat adalah wajib dalam Islam sebagaimana pandangan sekumpulan dari pengikut mazhab Syafie dan Hanbali. Ia juga bertepatan dengan maqasid syariah dalam meraikan kepentingan manusia dan menolak kerosakan. Di antara kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk menguatkan hujah ini adalah seperti berikut:



دَرء المَـفاسِـدِ مُـقَـدِّم على جَـلبِ المَصـالِـح
- Membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan.
لا ضَـرَرَ و لا ضِـرارَ
- Tiada kemudaratan dan tidak memudaratkan
الضَّــرَرُ يُـزالُ
- Kemudaratan hendaklah dihapuskan
الضَّـرَرُ يُـدفَـعُ بِـقَـدَرِ الإمـكان
- Kemudaratan itu ditolak menurut kadar yang mungkin
كُـلُّ ما أضّـرَّ بِـالمُـسـلِمين وَجَـبَ أن يُنـفى عَـنـهـم
- Apa sahaja yang memudaratkan kaum Muslimin wajib dihindarkan daripada mereka
الـضَـرَرُ الأشَــدُّ يُــزالُ بالـضَّـرَرِ الأخَــفِّ
- Kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan


(Ab. Latif Muda dan Rosmawati Ali, “Perbahasan Kaedah-kaedah Fiqh”, hlm. 174-180, Kuala Lumpur: Ilham Abati Enterprise, 2000)

Menurut Dr. Muzammil lagi, embrio ini tidak akan selamat jika tidak ditempatkan di dalam rahim ibu dan tidak akan dapat berkembang menjadi manusia. Oleh itu, tidak salah menggunakannya untuk penyelidikan bagi mencari penawar yang dapat memulihkan penyakit-penyakit ini. Bagaimana pun, adalah penting untuk kita terlebih dahulu membentuk garis panduan undang-undang berkaitan dengan pendermaan sel-sel ini. Ini karena pelbagai penyelewengan mungkin berlaku seperti, seorang doktor di klinik kesuburan mungkin sengaja mensenyawakan lebih ovum untuk mendapatkan lebih banyak embrio, atau ovum mungkin diperdagangkan dengan harga yang tinggi untuk, atau mungkin juga embrio diambil tanpa pengetahuan penderma. Oleh itu, dalam membuat garis panduan ini adalah sangat penting untuk membedakan di antara penggunaan embrio-embrio lebihan dari prosedur IVF, dan penghasilan embrio semata-mata untuk tujuan penyelidikan sel stem.

(Dr. Muzammil Siddiqi, “An Islamic Perspective on Stem Cells Research”, laman Islamicity, http://www.islamicity.com/articles/Articles.asp?ref=IC0202-404)


9. Apakah terdapat sebarang fatwa terperinci terhadap penggunaan sel stem dalam perubatan dan kajian?

Terdapat beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh mereka yang berautoriti dalam bidang ini. Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan pada 25 Mei 2006:

1. Pengklonan terapeutik untuk tujuan rawatan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu atau menggantikan organ yang telah rosak dengan mengambil kira langkah-langkah sempadan yang dibenarkan oleh syarak’ adalah diharuskan.

2. Harus menggunakan embrio yang disimpan beku atau lebihan embriodari proses persenyawaan di luar rahim (IVF) untuk tujuan penyelidikan dengan syarat mendapat persetujuan pasangan suami isteri yang menerima rawatan dan kajian tersebut dilakukan sebelum mencapai tahap ‘alaqah’(blastocyst).

3. Penyelidikan ke atas pra-embrio selain dari untuk tujuan terapeutik hendaklah mendapat kebenaran daripada pasangan suami isteri. Praembrio hasil penyelidikan ini, tidak boleh sama sekali ditanam dalam rahim isteri atau mana-mana wanita yang lain.

4. Harus melakukan penyelidikan ke atas pra-embrio untuk mengetahui penyakit genetik bagi pasangan suami isteri yang berisiko tinggi dan hanya embrio yang dikenal pasti bebas dari penyakit sahaja boleh ditanam dalam rahim ibunya dalam tempoh perkahwinan yang sah. Sebarang penyelidikan yang berunsurkan komersial atau yang tiada kaitan dengan kesihatan ibu atau janin adalah tidak dibenarkan.5. Rawatan kejuruteraan genetik ke atas pra-embrio yang melibatkanpengubahsuaian sifat semula jadi seperti rambut, warna rambut,kebijaksanaan, ketinggian dan sebagainya termasuk memilih jantinaadalah haram. Bagaimanapun, pemilihan jantina diharuskan sekiranyafaktor jantina menatijahkan suatu penyakit genetik yang serius yangboleh membawa kematian.

6. Penyelidikan hendaklah dijalankan secara sah dan proposal penyelidikan mestilah jelas, saintifik dan dikendalikan oleh penyelidik yang benar-benar mempunyai kemahiran, amanah serta bertanggungjawab.

7. Sel stem daripada sumber-sumber berikut adalah harus digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kaji selidik:

a. Daripada seorang dewasa (sel stem dewasa) dengan izin danprosedurnya tidak mengakibatkan mudarat;
b. Daripada seorang kanak-kanak dengan keizinan ibu bapanya danprosedurnya tidak mengakibatkan mudarat;
c. Daripada uri dan darah tali pusat bayi dengan keizinan ibu bapanya;d. Daripada janin yang gugur secara spontan atau keguguran akibatdaripada rawatan perubatan yang dibenarkan syara’ dengan syaratmendapat keizinan ibu bapanya, bukan janin yang digugurkan secarasengaja atau digugurkan tanpa sebab-sebab perubatan yang dibenarkanoleh syara’;
e. Daripada lebihan embrio (excess embryos) yang disimpan beku daripada teknologi bantuan kesuburan IVF dengan syarat mendapat keizinan daripada ibu bapanya. Sel stem daripada embrio yang dihasilkan secara sengaja (created embryo) dengan teknologi Somatic Cell Nuclear Transfer ( SCNT ) adalah tidak dibenarkan berdasarkan kaedah saddul zaraie’ iaitu menutup pintu keburukan.

(rujuk Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, no. fatwa P.U. 13, diwartakan pada 25 Mei 2006) atau layari alamat berikut:
http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1322



Sebarang Persoalan Tentang Isu ini Sila Kemukakan kepada Ustaz Rohidzir Rais (khatamirais@yahoo.com)

Ahad, 15 Jun 2008

Allah Mengajar Kita Memelihara Kesihatan


TERAPI PUASA
Oleh ROHIDZIR RAIS
(www.al-zuhaily.blogspot.com)

* Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Utusan pada bulan Ramadhan lepas. (22.07.2007)


Sebagai Pencipta manusia, jasad dan roh, Allah s.w.t. pasti lebih tahu apa yang baik untuk manusia. Kewajipan puasa tidak hanya bertujuan merawat jiwa manusia dalam ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah tetapi juga sebagai terapi tahunan untuk tubuh manusia. Ini jelas dilihat dalam surah al-Baqarah ayat 184 bermaksud: Berpuasa itu lebih baik bagi kamu, kalau kamu mengetahui.

Puasa telah sedia dikenali sebagai satu rawatan semula jadi untuk pelbagai jenis penyakit sejak beribu-ribu tahun dahulu. Ramai pakar perubatan kuno berpuasa dan menyarankan pesakit-pesakitnya agar berpuasa sebagai satu kaedah rawatan. Contohnya, Ibnu Sina, pakar perubatan Islam, menyifatkan puasa sebagai rawatan untuk pelbagai jenis penyakit.

Malah doktor-doktor Islam kini mengakui puasa boleh mengubati penyakit cacar dan sifilis. Napoleon ketika menawan Mesir, mengamalkan terapi puasa untuk mengawal penyakit berjangkit. Dr. Fredrick Hoffman, dari Universiti Moscow pada 1769 menasihatkan pesakit-pesakitnya agar berpuasa ketika sakit. Menurut beliau, puasa memberikan masa untuk perut berehat dan memberikan ruang untuk tubuh mengembalikan kekuatan.

Allah sendiri menjelaskan bahawa puasa yang diwajibkan ke atas kita ini telahpun diamalkan oleh umat-umat sebelum ini. Firman-Nya:
" Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa". (al-Baqarah: 183)

Pada kurun ke-19, Zeland, seorang pakar perubatan Rusia, mengumumkan bahawa puasa memberi kesan positif kepada urat saraf, sistem penghadaman dan darah. Katanya lagi, puasa memberikan masa yang cukup untuk tubuh berehat, di samping beroleh kekuatan baru.
Sebenarnya hakikat puasa sebagai terapi melawan penyakit bukan sesuatu yang baru. Rasulullah yang hidup pada zaman gelap sains, mengakui bahawa puasa adalah senjata untuk melawan penyakit. Sabda baginda, “Puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri”. (riwayat Imam Ahmad)

Pakar-pakar moden kini mengesahkan bahawa setiap orang perlu berpuasa, sama ada orang itu sihat, apatah lagi jika sakit. Pelbagai racun memasuki tubuh sepanjang hidup kita, melalui makanan dan minuman moden yang tidak sihat dan sarat dengan bahan kimia dan udara yang tercemar.

Tubuh tidak mampu menyingkirkan semua racun ini dan menyebabkan manusia semakin lemah. Puasa dapat memberi ruang dan kesempatan untuk sel-sel tubuh membersihkan diri mereka daripada racun-racun ini dengan lebih berkesan. Berbeza dengan amalan diet biasa, kaedah puasa Ramadan adalah yang terbaik kerana dilakukan dengan sistematik setiap tahun.
Walaupun keberkesanan terapi puasa terhadap tubuh telah diakui tetapi perkara paling menakjubkan ialah kemampuannya untuk merawat masalah psikologi yang kritikal. Puasa memberi masa untuk sel-sel otak berehat dan pada masa sama, bertindak membersihkan sel-sel darah daripada toksik. Darah bersih yang memasuki otak ini akan turut sama membersihkannya.

Hasilnya, orang yang berpuasa mempunyai otak yang lebih kuat dan cerdas untuk berfikir. Ini dibuktikan apabila Pengarah Institut Pesakit Mental Moscow, Dr. Yuri Nikolayev, merawat 7,000 pesakit mental dengan menggunakan terapi puasa, setelah semua kaedah dan ubat-ubatan lain tidak berkesan. Menakjubkan rawatan ini berjaya!

Bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang tidak membenarkan mereka yang mempunyai masalah psikologi berpuasa seperti pesakit yang menderita epilepsi (sawan) yang disebabkan oleh kekurangan kandungan gula dalam darah kerana memerlukan pengambilan ubat sepanjang Ramadan.

Begitu juga dengan pesakit skizofrenia, menggunakan ubat yang menyebabkan mulut kering dan dahaga. Pengguna Lithium juga tidak boleh berpuasa kerana kekurangan air di dalam badan boleh menyebabkan kepekatan darah dan menukarkan dadah menjadi racun.

Kebanyakan doktor menyarankan agar pesakit diabetes jenis 2 agar tidak berpuasa kerana memudaratkan. Tetapi, Dr. Riyadh Sulaimani dan rakan-rakannya di Kuliah Perubatan Hospital al-Malik Khaled al-Jami’, pada 1990, telah menjalankan kajian tentang kesan puasa Ramadan kepada pesakit diabetes jenis 2.

Seramai 47 orang pesakit diabetes jenis 2 yang terlibat dalam kajian ini telah berpuasa dan didapati tidak terdapat kesan yang memudaratkan kepada mereka dari segi berat badan dan kandungan gula dalam badan.

Bagaimanapun, mereka ini sebaiknya mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa. Pesakit yang bergantung pada suntikan insulin, tidak disarankan berpuasa kerana mereka perlu makan setengah jam selepas suntikan. Namun begitu pesakit yang menggunakan ubat-ubatan, mungkin boleh mengambil manfaat daripada puasa terutama mereka yang mengalami berat badan berlebihan.

Puasa boleh membantu anda kekal muda remaja! Sekurang-kurangnya itulah yang di dakwa oleh Dr. Masora EJ dari Fakulti Psikologi Universiti Texas, yang mengkaji kaitan puasa dengan faktor panjang umur dan awet muda. Dengan mengurangkan 50-70 peratus makanan yang diberikan kepada beberapa ekor tikus, didapati ia membantu memanjangkan jangka hayat mereka serta dapat mencegah penyakit-penyakit yang berkaitan dengan usia.

Terapi yang dinamakan sebagai Antiaging Action of Caloric Restriction (CR) ini berkesan kerana pembersihan berterusan sel-sel tubuh melalui puasa dapat memanjangkan umur sel dan melambatkan proses penuaan.

Selain itu, keperluan badan terhadap protein juga menurun dan ini membolehkan sel-sel berehat dengan baik. Puasa juga dapat memperbaharui sel-sel dengan cara yang selamat.Benarlah seperti yang disabdakan Baginda, nabi yang ummi yang tidak mengenal huruf, bahawa puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri. Ini kerana, ketika puasa menyebabkan perubahan hormon di dalam badan.

Kajian Dr. Kernt et. al, telah mengesan perubahan dalam pengeluaran Hormon Pembesaran (Growth Hormone) oleh kelenjar pituari dalam tubuh orang yang berpuasa. Ini memberikan kesan positif dalam menguatkan sistem imuniti tubuh. Seperti yang kita tahu, sistem imuniti adalah ‘senjata’ mempertahankan diri daripada serangan luar. Dengan semua nikmat ini, bulan Ramadan layak dinobatkan sebagai Bulan Kesihatan Sedunia!

Maha Suci Allah yang telah menganugerahkan nikmat Ramadan ini. Kita berpuasa kerana Allah, begitu juga dengan semua ibadat lain. Kerana ketaatan ini, kita menerima kebaikan di dunia dan di akhirat berupa kesihatan yang baik. Sedangkan pada masa yang sama orang bukan Islam berhempas pulas mengkaji tentang puasa, nikmat yang telah lama kita kecapi.

Ehsan dariapda www.al-zuhaily.blogspot.com

Selasa, 10 Jun 2008

Jom Berzikir!

Kesan Zikir Terhadap Otak Manusia



Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Rohidzir Rais

Sabtu, 7 Jun 2008

Personaliti Berita Harian - Rohidzir Rais



Petikan: Berita Harian (5 Jun 2008)
Ruangan Personaliti:

Sebar ilmu melalui penterjemahan : Rohidzir guna pengalaman fasih bahasa Arab alih bahasa karya terkemuka

Oleh Hasliza Hassan


MENTERJEMAH karya orang lain membataskan kreativiti kerana penulisan asal tidak boleh diubah selain terpaksa menerima apa juga pendapat walaupun ada sesetengah pandangan yang diberi tidak dipersetujui. Berbeza dengan menghasilkan karya penulisan sendiri, kita bebas meneroka dan melahirkan pandangan selain membuat kajian lebih mendalam mengenai sesuatu perkara tetapi tidak dinafikan, usaha itu memakan masa.

Namun, melalui proses penterjemahan buku ke dalam pelbagai bahasa lain, banyak pengetahuan dapat ditimba serta dikongsi dengan pembaca terutama mereka yang tidak boleh membaca buku dihasilkan penulis bangsa lain. Bagi anak muda berusia 33 tahun yang baru berjinak-jinak menghasilkan buku aliran agama, Rohidzir Rais, pengalaman menterjemah buku karya penulis lain memberi kepuasan kerana melalui usaha itu ilmu pengetahuan serta maklumat dapat disampaikan kepada lebih ramai orang. Contohnya, karya pertama yang diterjemah iaitu buku tulisan penulis Turki, Adnan Oktar yang menggunakan nama pena Harun Yahya berjudul The Evolution Deceit, daripada bahasa Inggeris ke Melayu membolehkan pelajar Malaysia di Mesir memahami ilmu sains daripada pandangan Islam.

"Anggapan umum kita ialah sains dan Islam ibarat air dengan minyak. Sebenarnya kita silap kerana sains dan Islam tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, apabila saya berhasrat menterjemah buku yang ditulis Harun Yahya, tujuan saya ialah supaya kawan-kawan Melayu dapat belajar sains." "Tidak dinafikan ada pandangan dalam buku itu yang saya tidak setuju tetapi memandangkan ia adalah hasil terjemahan, saya tidak boleh ubah. Namun, keseluruhannya buku itu membolehkan saya lebih faham mengenai sains," katanya. Beliau berkata, idea menterjemah buku berkenaan lahir apabila beliau membacanya menerusi laman web dan merasakan topik yang dibincangkan itu menarik lalu mula menterjemah satu bab ke satu bab yang dibaca ke bahasa Melayu. Selepas menterjemah kira-kira 20 peratus daripada isi kandungan The Evolution Deceit, Rohidzir menghantar e-mel ke yayasan yang dinaungi Adnan Oktar untuk meminta dikirimkan naskhah itu serta memohon kebenaran menterjemahkannya ke bahasa Melayu.

Sebaik menerima maklum balas positif, beliau yang ketika itu sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-undang Syariah di Universiti al-Azhar, Mesir, meneruskan usaha menterjemah. Dengan sokongan rakan pelajar lain, beliau akhirnya berjaya menerbitkan buku terjemahan itu di Mesir yang menelan kos RM10,000. Buku terjemahan beliau mendapat sambutan baik daripada pelajar Melayu di sana dan bermula daripada itu, minat menterjemah semakin menebal apabila kebanyakan buku yang diterjemah adalah buku berbahasa Inggeris.
Mengapa buku bahasa Inggeris? Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, jika pelajar yang menyambung pengajian di Mesir cenderung mempelajari serta mendalami bahasa Arab, hatinya terfikir untuk mempelajari bahasa Inggeris di bumi Arab.
.
Sepanjang melanjutkan pengajian, beliau mengambil kurus bahasa Inggeris di Institut Bahasa Antarabangsa di Mesir dan berbekalkan ilmu diperoleh, timbul kecenderungan menterjemah buku bahasa Inggeris ke Melayu. "Tidak tahu macam mana, tiba di Mesir pula saya terfikir untuk belajar bahasa Inggeris. Begitu juga apabila saya mengambil keputusan berhenti tingkatan enam dan masuk sekolah pondok. Keputusan itu dibuat tiba-tiba tetapi saya lihat ada hikmah di sebaliknya. "Sebenarnya buku bahasa Arab pun saya terjemahkan juga seperti buku cerita kanak-kanak mengenai kisah hidup Rasulullah SAW daripada lahir hingga wafat," katanya yang sudah menterjemah 28 buku dalam pelbagai bidang ilmu dan dua daripadanya buku bahasa Arab. Katanya, apa yang penting ialah buku terjemahan dapat memberi ilmu tambahan kepada pembaca yang mungkin menghadapi kesukaran kerana maklumat mengenai sesuatu topik itu dihasilkan oleh penulis bangsa asing.
.
Kini, tumpuan beralih kepada menghasilkan buku sendiri dan cita-cita itu direalisasikan apabila beliau diterima sebagai pengarang di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn Bhd yang aktif menerbitkan buku, kaset dan cakera padat motivasi serta agama. Bercerita mengenai buku agama yang semakin banyak di pasaran, Rohidzir berkata, itu adalah usaha dakwah sejak dulu dan disemarakkan generasi hari ini melalui pendekatan lebih mudah serta mampu menarik minat pembaca. Katanya, jika ulama dulu tidak menulis sudah pasti ilmu tidak akan sampai kepada generasi hari ini dan itu yang dilakukan industri penerbitan iaitu meneruskan kesinambungan berdakwah melalui penerbitan buku. Malah, banyak lagi ruang boleh diisi penulis baik yang lama dan baru untuk menghasilkan karya kerana bidang penulisan memberi kebebasan mengembangkan daya kreativiti masing-masing melalui pendekatan yang dirasakan dapat diterima khalayak pembaca.
.
Bagi beliau sendiri, antara pendekatan yang difikirkan untuk mencambah idea baru ialah mendekatkan kehidupan dengan al-Quran iaitu mencungkil sebanyak mungkin maklumat yang ada dalam kitab suci, dipadankan kepada kegiatan harian umat Islam. "Caranya, ambil satu topik dan kaji apa yang Allah katakan mengenai perkara itu. Itu satu pendekatan dan banyak lagi pendekatan untuk kita melahirkan ilmu serta maklumat supaya dapat disesuaikan dengan gaya pemikiran serta corak kehidupan semasa. "Contoh lain, buku Remeh Temeh Tentang Seks Tapi Anda Malu Bertanya yang saya hasilkan cuba memberi satu persepsi baru kepada masyarakat kerana persoalan seks dalam masyarakat kita bukan perkara yang dibincangkan secara terbuka. "Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas positif daripada pembaca walaupun ada yang mengaku malu hendak membeli buku itu.
.
Hakikatnya ia adalah perkara yang ingin ditanya dan saya cuba sampaikan dalam bentuk sopan supaya mudah diterima serta difahami," katanya. Beliau yang mengakui disebabkan buku itu ada menggelarnya 'penulis seks', ia sedikitpun tidak menjejaskan tumpuannya, malah usaha diteruskan termasuk menyiapkan Ensiklopedia Solat sebanyak tiga jilid yang diharap dapat diterbitkan sebelum hujung tahun ini. Selain menulis, beliau juga berusaha memberi nilai tambah pada diri dengan mempelajari bidang susun atur menghasilkan halaman buku yang dianggap penting untuk menghasilkan satu penerbitan yang baik.
.
Katanya, hatinya lebih puas apabila bukan saja dapat menulis tetapi juga terbabit sama dalam proses penerbitan daripada peringkat penyusunan, pemilihan gambar serta susun atur halaman hingga terhasilnya sebuah buku. Bercita-cita menjadi seorang pendidik, Rohidzir memberitahu, dalam hatinya masih menanamkan angan-angan untuk membina sekolah agama miliknya sendiri yang memberi tumpuan melahirkan pakar dalam bidang al-Quran, hadis dan bahasa Arab. "Itu angan-angan saya dan walaupun aktif dalam penulisan buku, saya bertekad untuk meneruskan usaha mencapai cita-cita. Perancangan sudah ada dan dengan izin Allah, saya cuba melakukan segala terdaya supaya harapan menjadi kenyataan," katanya.


Rohidzir Rais - Terima Kasih kepada rakan-rakan yang memberikan pinjaman untuk mencetak buku Evolution Deceit di Mesir:

Mohd Zuhdi Ahmad Khasasi
Ahmad Ridhwan Baharom
Mohd Firdaus Arshad
Abdul Rahim Majid

Semoga segala ganjaran diperoleh bersama. Amin

Rahsia Syariat

KEBERSIHAN FIZIKAL

&

KEJERNIHAN AKHLAK

Kebersihan adalah rutin yang dikongsi oleh semua orang dan diamalkan dalam setiap masyarakat. Kebersihan fizikal dan akhlak yang baik sangat dititik beratkan agama, terutamanya sebelum melaksanakan sebarang ibadat. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kebersihan fizikal mempengaruhi nilai murni seseorang. Oleh itu, satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kaitan kebersihan luaran dan dalamam. Dr. Zhong dari Universiti Toronto dan Dr. Lijenquist dari Universiti Northwestern mengkaji sama ada perbuatan jahat atau berdosa mendorong pelakunya untuk membersihkan dirinya secara fizikal, dan apakah kebersihan luaran membantu memperbaiki tabiat buruk.

Kaji selidik yang dijalankan ke atas sekumpulan peserta menunjukkan manusia memerlukan pembersihan luaran selepas melakukan perkara tidak bermoral atau berdosa. Mereka juga secara tidak sedar merasakan perlunya melakukan pembersihan luar untuk membersihkan dosa mereka. Ini membuktikan dengan jelas bahawa tuntutan membersihkan diri dalam Islam bertepatan dengan fitrah manusia sebagaimana yang dibuktikan melalui uji kaji tersebut.

Islam menggalakkan mandi sunat dan memakai wangian sebelum bersolat terutamanya solat Jumaat dan solat sunat hari raya. Ini seolah-olah menggambarkan kepada Pencipta bahawa mereka adalah orang yang bersih dan baik pekerti. Selain itu kebersihan luaran juga memberikan manfaat besar kepada kita dengan menghilangkan segala kekotoran yang nampak dan tidak nampak daripada tubuh kita. Keutaman Islam terhadap kebersihan dapat dilihat pada sabda Rasulullah s.a.w. bahawa kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman. Kaitan iman dan kebersihan ini membuktikan hubungan erat antara kesucian tubuh badan, pakaian dan tempat tinggal dengan kemurnian hati dan akhlak.

Aspek kebersihan diamalkan sepenuhnya oleh Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan hariannya. Anjuran Baginda agar mandi selepas bersetubuh sangat penting dalam mengelakkan jangkitan kuman yang berpunca daripada hubungan seksual. Kewajipan berwuduk sebelum melakukan pelbagai ibadah yang difardukan juga memainkan peranan penting memeliharan kebersihan dan kesihatan manusia. Sekurang-kurangnya setiap Muslim yang taat berwuduk sebanyak lima kali sehari. Wuduk dapat menghindari pelbagai masalah kesihatan sebagaimana yang dihuraikan oleh Mukhtar Salem dalam bukunya Prayer: A Sport for Body and Soul. Dia juga menggariskan beberapa manfaat wuduk seperti berikut:

1. Wuduk mencegah kanser kulit kerana bahagian tubuh yang dibasuh dalam wuduk adalah yang paling mudah terdedah kepada pencemaran. Sama ada pencemaran dalaman seperti peluh atau luaran seperti habuk, wuduk berupaya menghilangkan pencemaran ini lima kali sehari dan memastikan lapisan kulit luar sentiasa bersih supaya sel-sel kulit dapat berfungsi dengan baik.

2. Berkumur dapat membersihkan mulut daripada cebisan makanan yang dimakan, yang boleh menyebabkan kerosakan gigi dan gusi.

3. Memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya kembali dapat menghilangkan kotoran yang tersangkut pada bulu-bulu hidung. Ini kerana bulu hidung berfungsi sebagai penapis udara yang cuba masuk ke dalam sistem pernafasan dan menyekat bahan kotor dalam udara. Kajian sekumpulan doktor di Universiti Iskandariah, Mesir, mendapati amalan ini mempunyai kesan positif kepada kebersihan hidung. Mereka mendapati orang yang sering berwuduk mempunyai hidung yang bersih tanpa debu atau kotoran pada bulu hidung. Sedang mereka yang tidak berwuduk atau jarang-jarang solat, mempunyai hidung yang hitam dan bulu hidungnya mudah tercabut.

4. Membasuh muka berulang kali memelihara sel-sel muka dan mencegah berlakunya kedutan awal. Selain itu, ia juga membantu membersihkan mata dan mencegah jangkitan kuman pada mata.

5. Amalan menyelati jari-jari ketika membasuh kaki juga sangat penting. Ini kerana kaki yang sering berada di dalam kasut yang tertutup boleh merosakkannya sebagaimana kerap terjadi pada atlet. Membongkokkan badan ketika menyelati kaki juga membantu menguatkan pinggang.

Oleh itu, jelaslah bahawa taharah yang diwajibkan dalam Islam mempunyai nilai kesihatan yang tinggi kepada manusia. Eksperimen sains juga membuktikan hubungan erat di antara kebersihan luaran dan kemurnian akhlak dan hati. Ini menjawab persoalan mengapa Allah s.w.t. mewajibkan taharah atau pembersihan dalam setiap ibadat yang diwajibkan ke atas hamba-Nya. Wuduk, mandi, siwak, berwangi-wangian dan bersuci adalah pemberian Allah kepada kita untuk memelihara hamba-hamba-Nya.

Penjernihan Jiwa

Siri Rahsia Syariat

Penjernihan Jiwa

Kita sebagai manusia biasa tidak terlepas daripada melakukan pelbagai kesilapan. Dan adakalanya mungkin terjerumus ke dalam persoalan yang dilarang, yang mengakibatkan dosa, atau perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t. Oleh itu Allah s.w.t. dengan sikapnya yang Maha Pengasih, dan Maha Pengampun sentiasa memberikan ruang kepada hambanya untuk kembali kepada fitrah dan membersihkan diri dari pelbagai kesilapan, ketergelinciran dan kesalahan. Allah memerintahkan hambanya agar sentiasa bertaubat sebagaimana firman-Nya:

Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)

Oleh itu, bertaubat apabila melakukan kesalahan atau dosa adalah wajib ke atas setiap individu. Tetapi disunatkan berterusan bertaubat sekali pun tidak melakukan dosa yang terang kerana mungkin dosa yang dilakukan secara tidak sengaja. Allah juga memberikan harapan kepada orang yang melakukan dosa agar tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Firman Allah:

Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Antara cara dan kaedah memelihara diri daripada ancaman api neraka Allah, menurut Sheikh Abdur-Rahman as-Sa’di di dalam tafsirnya terhadap ayat tersebut adalah:

“Dengan cara meninggalkan hal-hal yang menjerumuskan ke dalamnya, berupa kekufuran dan kemaksiatan khususnya kemaksiatan yang besar, yang akan mengheret kepada kekufuran, bahkan ia merupakan sifat dari kekufuran yang telah Allah siapkan neraka bagi pelaku-pelakunya."

Maka meninggalkan kemaksiatan akan menyelamatkan dari api neraka dan menjaga diri dari kemurkaan Yang Maha Kuasa. Sedang perbuatan-perbuatan yang baik dan berbentuk ketaatan membuahkan redha Allah, ganjaran Syurga, dan memperolehi rahmat.” (Tafsir as-Sa’di, jil. 1, m/s. 545)

Mari Bersyukur

Siri Rahsia Syariat

Mari Bersyukur

Terima Kasih! Ucapan paling mudah dan kerap kita lafazkan setiap hari apabila menerima pemberian daripada orang lain berupa hadiah, sedekah, perkhidmatan, pertolongan atau sekadar budi bahasa dan senyuman. Bayangkan sekiranya pemberian yang sekecil ini daripada hamba yang lemah seperti kita pun kita hargai, bagaimana pemberian yang lebih besar?

Udara yang kita hirup, air yang kita minum, makanan yang kita makan, adalah sebahagian kecil nikmat anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kita mungkin tidak menyedari segala pemberian ini kerana menikmatinya terlalu lama sejak dilahirkan sehingga kini. Namun kita hanya merasai besarnya nikmat ini selepas kehilangannya. Justeru itu sudah sewajarnya kita yang menerima segala kemudahan yang tidak terbatas ini mengucapkan terima kasih kepada Allah s.w.t.

Tidak Syukur Membawa kepada Kufur

Oleh itu, bersyukur atau berterima kasih kepada Allah adalah kewajipan seorang Mukmin. Malah Allah menjanjikan ganjaran bagi mereka yang mensyukuri-Nya dan mengancam mereka yang ingkar. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w.:

‏مَنْ لَمْ يَشْكُرْ الْقَلِيلَ لَمْ يَشْكُرْ الْكَثِيرَ وَمَنْ لَمْ يَشْكُرْ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَالتَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللَّهِ شُكْرٌ وَتَرْكُهَا كُفْرٌ وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ

Maksudnya: "Siapa yang tidak bersyukur dengan benda yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan benda yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."

(Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad pada bab Awal Musnad Ahli Kufah: Baki Hadis al-Nu'man bin Basyir r.a.)

Syukur Pelaris Rezeki

Untuk berterima kasih kepada manusia kita mungkin terpaksa memberikan habuan tertentu sebagai balasan, tetapi sebaliknya dengan Allah. Ini kerana Allah tidak berhajat kepada manusia untuk mengucapkan syukur sebagaimana firmannya:

وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

(Surah al-Naml 27 : 40)

Sebaliknya orang yang bersyukur dengan nikmat pemberiannya ditambahkan lagi dengan kurniaan yang lain berlipat kali ganda. Firman Allah:


Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim 14 : 7)

Nikmat Allah Hendaklah Diperlihatkan

Selain itu, segala nikmat pemberian Allah hendaklah disebut-sebutkan dan dihebahkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, bukan untuk bermengah-mengah. Misalnya, apabila mendapat cahaya mata atau berkahwin digalakkan membuat jamuan kenduri kesyukuran secara sederhana untuk meraikan nikmat Allah ini. Firman Allah:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

(Surah Dhuha 93 : 11)


Jadi, tunggu apa lagi. jom kita bersyukur!!!


Manusia Sering Lupa

Manusia Sering Lupa

Salah satu sifat unik manusia adalah lupa. Setiap individu tanpa mengira darjat dan kedudukan pasti pernah terlupa. Malah Rasulullah s.a.w. yang mulia juga tidak dapat lari daripada sifat ini. Selain dalam kehidupan biasa, kita juga boleh terlupa ketika bersolat, sama ada terlupa meninggalkan rukun atau sunat atau terlupa rakaat yang dikerjakan atau terlebih. Diriwayatkan Rasulullah s.a.w. pernah terlebih rakaat dalam solat kemudian dia bersujud sahwi. Abdullah r.a. menceritakan daripada Ibrahim r.a. katanya:

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏فَزَادَ أَوْ نَقَصَ فَلَمَّا سَلَّمَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ حَدَثَ فِي الصَّلَاةِ شَيْءٌ قَالَ لَوْ حَدَثَ فِي الصَّلَاةِ شَيْءٌ أَنْبَأْتُكُمُوهُ وَلَكِنِّي‏ ‏إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ ‏أَنْسَى كَمَا تَنْسَوْنَ فَأَيُّكُمْ مَا شَكَّ فِي صَلَاتِهِ فَلْيَنْظُرْ‏ ‏أَحْرَى‏ ‏ذَلِكَ إِلَى الصَّوَابِ فَلْيُتِمَّ عَلَيْهِ ثُمَّ لِيُسَلِّمْ وَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ ِ

Maksudnya: "Rasulullah s.a.w. telah bersolat. Menurut Ibrahim Baginda telah menambah rakaat (atau kurang). Selepas Baginda memberi salam, kami berkata "Wahai Rasulullah, adakah berlaku perubahan dalam solat?" Baginda menjawab "Jika berlaku perubahan pasti saya memaklumkan kepada kamu. Tetapi saya juga hanya manusia yang lupa sebagimana kamu lupa. Sesiapa yang merasa was-was dalam solatnya hendaklah dia mengambil yang lebih tepat dan kemudian sempurnakannya. Setelah itu dia memberi salam dan bersujud dengan dua kali sujud."

(Riwayat Nasai dalam Sunan an-Nasai pada bab Sahwi)

Ini isyarat jelas bahawa Allah tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan kewajiban luar kemampuan mereka. Pensyariatan sujud sahwi adalah pengiktirafan Allah kepada sifat kemanusiaan hambanya yang pelupa. Selain itu, ia juga menonjolkan kelebihan mengapa Allah mengutuskan seorang rasul yang bersifat manusia kepada manusia lain sebagai panduan dan bimbingan. Sekiranya Allah mengutuskan seorang malaikat, sudah tentang manusia tidak dapat mengikutnya.