Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB

">

Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB (part 2)

">

Ahad, 15 November 2009

Seruan Dr Mahmood Zuhdi untuk Kesatuan Umat Islam Malaysia

Pulihkan institusi agama dan ulama

PERKATAAN ekstremis kini semakin kerap dirujuk kepada umat Islam. Keadaan itu menyebabkan imej Islam dari semasa ke semasa terus terjejas. Persoalannya kenapakah ia berlaku dan di manakah silapnya? Bagi memperkatakan masalah ini, wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID menemui Timbalan Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) DATUK DR. MAHMOOD ZUHDI untuk mendapatkan gambaran apa sebenarnya yang menjadi punca wujudnya golongan ekstremis di dalam Islam.

Dalam pertemuan itu, Dr. Mahmood memperjelaskan sikap seperti manakah yang dianggap ekstrem. Turut mendapat perhatian beliau ialah mengenai kewujudan golongan Islam liberal. Bagaimanapun beliau menegaskan, golongan berkenaan bukannya harus ‘diperangi’ tetapi sebaliknya didekati supaya mereka mengetahui kebenaran. Dr. Mahmood juga secara berterus-terang menganggap institusi Islam di negara ini adalah pasif dalam menangani isu berkaitan umat Islam. “Saya beranggapan kebanyakan institusi ini berhadapan dengan sindrom yang dipanggil ‘mandul,’’ katanya.

Mengenai kekalutan yang berlaku dalam arena politik terutamanya isu bai’ah yang melibatkan Pas, Dr. Mahmood menganggap ia adalah satu kekeliruan dalam parti itu. Justeru beliau mencadangkan supaya Pas kembali kepada peranan asal sebagai parti Islam pembangkang yang mengadakan check and balance dalam semua perkara sama ada yang merugikan atau menguntungkan umat Islam dan orang Melayu.


----------------------------------------------

MINGGUAN:Apakah pandangan Datuk tentang kewujudan ekstremis agama?

DR. MAHMOOD: Dalam Islam tidak ada istilah ekstremis. Orang yang kuat beribadat, berjuang dan berjihad itu merupakan satu sikap yang baik. Tapi saya hendak tegaskan di sini ialah ekstremis dalam pendekatan yang digunakan.

Mungkin dia menggunakan pendekatan yang agak ekstrem. Bukan sahaja dalam beragama tetapi dalam berorganisasi. Jadi mereka ini kadang-kadang menekankan pendekatan yang melampau atau tidak sesuai dengan pendekatan demokrasi yang diamalkan dalam masyarakat hari ini.

Contohnya di satu pihak mereka menerima sistem raja berperlembagaan dan sebagainya tetapi dalam masa yang sama gelagatnya tidak menunjukkan penerimaan itu. Ini yang dikatakan dengan sikap-sikap ekstremis tersebut.

Masalah yang timbul ialah apabila tokoh agama dalam parti menyatakan sesuatu ia kemudian dianggap sebagai fatwa. Tidakkah ini dianggap ekstrem?

DR. MAHMOOD: Ini sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Ini berkait dengan isu kesetiaan. Jika kita lihat ulama atau mufti boleh memberi fatwa. Mungkin dalam realiti sekarang ada orang yang melihat mufti dan ulama tidak mempunyai wibawa kerana kurang mengkaji atau membaca. Kita tidak boleh memaksa rakyat jika mereka melihat golongan agama bersikap sedemikian. Maka kita lihat ada yang menerima fatwa daripada tokoh agama parti kerana kesetiaan dan kewibawaan.

Mungkin kerajaan perlu mewujudkan satu organisasi yang lebih mantap dan kumpulkan tokoh agama yang lebih baik untuk mengatasi kelebihan tokoh agama dalam Pas. Kerajaan tidak melihat lebih mendalam tentang aspek itu, kebanyakan mereka hanya boleh diarah dan ditunjuk sahaja.

Saya mencadangkan masalah yang dihadapi sekarang ini perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak, bukan sahaja kerajaan. Jika tidak kita akan lihat bangsa Melayu Islam di negara ini akan 'dikepung' dan kita tidak boleh hendak keluar lagi.

Saya ambil contoh di negara-negara yang penduduk asalnya tidak lagi berfungsi seperti yang sepatutnya dan jauh ketinggalan berbanding bangsa pendatang. Sudah sampai masanya untuk orang Melayu berdialog tentang masa depan mereka secara lebih serius daripada terus berbalah sesama sendiri terutama di dalam media.

Berbalik tentang soal ekstrem, kita mesti melihat dari sudut kepimpinan. Siapa yang rakyat percaya dia akan sokong kepimpinan itu. Saya tidak melihat ia mewujudkan ekstremis dalam Pas, sebaliknya melihat kegagalan kerajaan mengemukakan orang yang boleh dipercayai dan diyakini dalam bidang Islam sama ada dalam UMNO atau kerajaan. Mungkin orang ini boleh membaca al-Quran tapi kita lihat dari segi sikap dan pendirian mereka tidak kental. Mereka kebanyakannya makan gaji dan memikirkan tentang kedudukan diri, sedangkan yang penting ialah perjuangan.

Mungkin orang dalam parti dilihat agak ekstrem tetapi jika kerajaan gagal memberi satu kepuasan dari sudut agama, maka rakyat akan mencari alternatif untuk diri mereka.

Bagaimana kita perlu menangani kelompok Islam liberal yang cuba menonjolkan diri sekarang?

DR. MAHMOOD: Islam liberal ini lahir daripada perasaan tidak puas hati terhadap puak konservatif dalam Nahdatul Ulama di Indonesia. Mereka terlampau kolot sehingga membantah segala pembaharuan yang berlaku sedangkan dunia berkembang. Mereka ini mewakili mazhab Syafie tetapi menjadi penghalang untuk kemajuan.

Namun mereka yang menonjol sebagai Islam liberal sekarang adalah anak cucu kepada pengasas Nahdatul Ulama. Oleh itu jika kita hendak kekal dengan mazhab Syafie supaya tidak ada terikut dengan syiah atau wahabi, kita kena kembangkan mengikut keadaan semasa.

Mazhab adalah kerangka berfikir jadi kerangka ini jika tidak dikembangkan ia akan menjadi lemah. Mereka beranggapan kerangka berfikir ini tidak lagi berfungsi sedangkan para ulama yang menyebabkan kerangka ini lemah kerana tidak berkembang. Oleh itu para ulama yang berpegang kepada mazhab Syafie perlu berubah dan berkembang supaya ia sesuai dengan masyarakat kita. Saya berpendapat mazhab Syafie sesuai dengan budaya kita cuma ia perlu kepada lonjakan.

Kita berhadapan dengan tujahan pembangunan dari sudut ekonomi, budaya dan sosial. Perkembangan mazhab adalah perlu untuk memenuhi keadaan semasa bagi menghasilkan buah pemikiran baru dalam kerangka pemikiran, asalkan ia tidak lari daripada kehendak syariat.

Tetapi ulama kita yang menjadi pengawal terdiri daripada mereka yang kolot. Mereka beranggapan mazhab ini sudah tidak boleh diperkembangkan lagi kerana sudah sampai ke kemuncaknya. Terdapat golongan dalam masyarakat kita termasuk puak establishment yang tidak mahu berkembang atas kepentingan peribadi. Maka lahirlah puak yang berpegang kepada Islam liberal.

Apakah sebenarnya matlamat kelompok ini?

DR. MAHMOOD: Kita lihat kembali ketika berlaku revolusi Iran, kita pun hendak buat macam-macam bagi menarik sokongan terhadap gerakan ini.

Tetapi akhirnya kita jadi macam burung kedidi cuba meniru burung bangau berjalan. Masyarakat negara ini terkenal dengan sifat lemah-lembut berbeza dengan orang Iran yang kasar sifatnya. Memanglah mereka sesuai dengan syiah. Akhirnya kita kembali mencari apa yang sebenarnya perlu untuk masyarakat kita iaitu mazhab Syafie.

Kebanyakan mereka yang Islam liberal ini adalah anti establishment. Mereka ini pula dibantu oleh "tangan-tangan ajaib" melalui sumbangan dana. Di kalangan negara barat mereka bimbang akan ada satu negara yang boleh menjadi pemimpin. Ini yang paling mereka takutkan. Tetapi kita boleh lihat tidak ada pun sebuah negara Islam yang mampu. OIC sekarang hanya menjadi 'kelab minum kopi'.

Mereka berjaya memporak-perandakan negara-negara Islam. Menurut Samuel Huntington jika wujud sebuah negara Islam yang boleh menjadi pemimpin yang berkesan maka Islam akan bangun dengan cepat dan meruntuhkan barat.

Oleh itu barat memberi perhatian yang lebih kepada pergerakan atau NGO yang dilihat boleh memecah belahkan perpaduan Islam. Lagi satu saya ingin jelaskan bahawa dalam masyarakat itu sendiri ramai antara mereka terdiri daripada orang yang kecewa. Antaranya mereka yang kecewa dalam politik, kecewa kerana tidak berkahwin atau bercerai dan sebagainya.

Mereka kemudiannya akan membuka persatuan, parti politik, NGO dan sebagainya dan akan melahirkan kekecewaan terhadap realiti yang dilalui.

Bagi saya golongan ulama perlu faham bahawa mereka ini perlu didekati, bukan dimusuhi atau dikecam dalam media dan sebagainya. Mereka ini tidak pernah mengenali apa itu kebenaran.

Bagaimana dengan peranan institusi Islam di negara ini. Apakah mereka memainkan peranan yang sewajarnya?

DR. MAHMOOD: Bagi saya institusi Islam di negara ini adalah pasif. Saya beranggapan kebanyakan institusi ini berhadapan dengan sindrom yang dipanggil "mandul". Kita ambil contoh Mesir yang digelar sebagai "ibu" kepada dunia.

Orang sekarang berkata, dulu Mesir boleh 'melahirkan anak' yang baik. Tetapi sekarang ia telah 'menjadi nenek' kerana tidak boleh melahirkan anak. Jadi sebagai penyelesaiannya kita kena cuba buat pembaharuan pemikiran dari tradisional, bagaimana untuk menubuh dan memperbaharui institusi agama.

Bagaimana kita boleh melahirkan ulama yang lebih berkaliber. Siapa ulama ini?

Ulama ialah umpama orang yang pijak semut tidak mati. Mereka ini dilihat mewakili zaman tradisional sedangkan mereka ini sepatutnya mewakili cerdik pandai termasuklah para intelektual di universiti. Ini yang perlu dilakukan di mana golongan ulama dan institusi perlu diperbetul dan disusun semula supaya masyarakat dapat menerima dan lebih menghormati institusi ini.

Ini tidak, kita ada yayasan dakwah yang tidak berdakwah. Kita sebenarnya bermasalah. Politik kita berpecah belah, ulama kita berkelahi, institusi agama kucar-kacir, potensi yang ada kita abaikan. Gambarannya ialah kita hanya mengecap sedikit nikmat kemerdekaan tetapi tidak tahu mengekalkan nikmat sebenar.

Adakah apa yang dilakukan oleh Pas termasuklah dalam soal bai'ah dianggap ekstrem?

DR. MAHMOOD: Saya cadangkan Pas kembali kepada iaitu memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam berasaskan kesepakatan orang Islam dan Melayu.

Apa yang Pas amalkan sekarang dengan merelakan diri untuk mengadakan pakatan bersama DAP dan sebagainya itu merupakan satu jalan yang salah.

Saya melihat Pas dipengaruhi oleh cita- cita politik yang sangat tinggi iaitu untuk memerintah negara dalam tempoh masa secepat mungkin. Itu juga satu pendekatan yang agak ekstrem. Sedangkan tokoh-tokoh veteran Pas terdahulu tidak begitu. Mereka lebih kepada mendidik masyarakat untuk menerima perjuangan Islam.

Bila masyarakat menerima perjuangan Islam secara total maka berlakulah perpaduan Islam dan Melayu. Jadi penubuhan negara Islam adalah secara evolusi.

Tetapi sekarang ini Pas lebih dipengaruhi unsur yang mahu pemerintahan negara Islam dicapai dengan cepat walaupun terpaksa bersekongkol dengan DAP dan PKR. Apabila berlaku sesuatu, Pas akan ketinggalan dan akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Oleh itu, Pas perlu kembali kepada peranan asal sebagai parti Islam pembangkang yang mengadakan check and balance dalam semua perkara sama ada yang merugikan atau menguntungkan Islam dan orang Melayu. Ini seperti zaman ketika Pas dipimpin oleh Zulkifli Mohammad, Burhanuddin Helmi dan sebagainya. Dahulu tidak timbul soal bai'ah seperti ini.

Politik kepartian bagi saya tidak penting. Yang penting parti yang boleh membawa orang Melayu Islam ke hadapan bukan berpecah belah. Kalau boleh saya menyarankan supaya Pas keluar dari pakatan pembangkang kerana ia tidak memberi apa-apa faedah kepada orang Melayu dan Islam di negara ini, malah Pas semakin tersasar jauh daripada peranan asal penubuhannya.

Saya melihat ada kekeliruan dalam organisasi Pas. Ini menunjukkan ia tidak diurus dengan betul. Tidak semestinya apa yang diarahkan oleh pucuk pimpinan itu tidak sampai ke bawah. Dan tidak semestinya apa yang dilakukan oleh peringkat bawahan itu mencerminkan arahan atau dasar pucuk pimpinan. Itulah realiti Pas sekarang iaitu satu parti yang besar tetapi tidak dapat dikawal perkembangan secara normal.

Perkara ini perlu diperhatikan oleh parti tersebut secara lebih mendalam.

Kenapa bai'ah diwujudkan dalam Pas dan apakah tujuannya?

DR. MAHMOOD: Bai'ah ini ditimbulkan oleh golongan ekstremis dalam Pas untuk mewujudkan lapisan kedua merebut kepimpinan dalam parti itu. Apabila beberapa kalangan ini mendapat kedudukan yang lebih baik maka golongan Islam yang tradisional akan terpinggir. Pengalaman ini telah lama berlaku dalam Pas.

Pas menyatakan mereka ditendang keluar dari Barisan Nasional satu ketika dahulu, sebenarnya Pas berusaha melakukan sesuatu dengan harapan supaya ditendang. Idea tersebut dilakukan oleh mereka yang baru masuk Pas, bukan idea mereka yang terlibat dalam perjuangan asal Pas. Itu kita kena faham. Presiden Pas telah menjelaskan bahawa isu bai'ah bukan arahan pusat tetapi membabitkan peringkat negeri.

0 comments: