Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB

">

Temubual Ustaz Rohidzir Rais bersama Dato Dr Mahmood Zuhdi tentang Hukum ASB (part 2)

">

Jumaat, 2 Januari 2009

Habiburrahman




“Bagi saya sastera Islam tidak wajar disempitkan kepada karya yang hanya berlatarkan masjid, Makkah atau Madinah serta watak ustaz berpendidikan agama di Asia Barat kerana definisi sempit itu menjadikannya tidak dapat diterima oleh khalayak di luar Islam,” Habiburrahman, Penulis Ayat-Ayat Cinta


Kehadiran Ayar-ayat Cinta bukan pengisi lompang sastera Islam di Indonesia


PENGARANG Ayat-ayat Cinta, Habiburrahman el-Shirazy, menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa novelnya itu pengisi lompong kosong dalam karya sastera Islam Indonesia selepas dunia sastera mereka dilanda dengan gelombang sastera liberal dan sensual.

“Sastera Islam tidak pernah putus sejak zaman Dr Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) kerana di tengah-tengahnya lahir ramai sasterawan dan pengarang Muslim,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebahagian pemerhati sastera menganggap Ayat-ayat Cinta yang menerima jolokan novel pembangunan jiwa itu menjadi fenomena luar biasa kerana kehadirannya memberi saingan kepada sastera liberal dan sensual.


Kehadiran Saman karya Justina Ayu Utami atau lebih dikenali Ayu Utami selepas kejayaan gerakan reformasi pada 1998 yang membuka ruang kebebasan bersuara sehingga memecahkan pintu taboo dalam dunia karya kreatif Indonesia apabila teks liberal dan sensual merempuh sastera Indonesia.

Beliau yang dinobatkan sebagai pemenang Sayembara Penulisan Roman Dewan Kesenian Jakarta 1998 membolehkan Saman diletakkan dalam kelompok karya sastera berbobot, sehingga semakin ramai pengarang melanggar taboo terutama bersangkutan unsur sensual dan seksual.


Habiburrahman melihat pertentangan antara sastera Islam dengan liberal sudah pertembungan alami kerana manusia yang ingin bebas daripada ketaatan daripada peraturan, sudah wujud sejak kewujudan manusia lagi.

“Bagaimanapun, saya tidak terlalu mengambil berat hal sastera liberal kerana mahu berusaha seperti seorang Muslim dengan menulis karya sastera sebaik-baiknya. Saya menganggap diri sebagai penulis dan bukannya pengkritik, tetapi berharap pengkritik tidak hanya lahir daripada kelompok liberal, bahkan kalangan Muslim yang taat,” ujarnya.

Baginya ramai pengarang Indonesia yang menghasilkan karya sastera Islam termasuk Mochtar Lubis lewat Harimau! Harimau!, novel yang ada nilai sufi, iaitu khauf (takut) dan raja’ (mengharap), tetapi aspek berkenaan kurang diberi perhatian.

“Bagi saya sastera Islam tidak wajar disempitkan kepada karya yang hanya berlatarkan masjid, Makkah atau Madinah serta watak ustaz berpendidikan agama di Asia Barat kerana definisi sempit itu menjadikannya tidak dapat diterima oleh khalayak di luar Islam,” katanya.

Justeru baginya, rujukan pemetaan antara sastera Islam dan liberal yang tidak kabur diperlukan, tetapi ia menjadi suatu masalah kerana mereka yang mengelompokkan sastera tidak memahami aspek terbabit.

Bagaimanapun, beliau mengakui pemetaan jelas, memerlukan proses yang panjang kerana teori dan metodologi kritikan sastera di universiti masih lagi terikat dengan Barat, sekali gus menimbulkan perbezaan antara sastera Islam dengan lokal.

“Padahal Islam ada dalam budaya tempatan dan saya menulis dengan unsur lokal seperti Solo dan Desawangi serta segala budayanya. Tidak wajar kita membuat kesimpulan sastera Islam tidak ada kaitan dengan warna tempatan.

“Islam ada kaedah fiqh, iaitu adat yang boleh dijadikan sumber hukum sekiranya bersesuaian dengan syariat. Apabila Islam hadir di sesuatu tempat, unsur lokal tidak semestinya perlu dihilangkan sama sekali,” katanya.

Baginya tanggapan novel tidak layak dimartabatkan sebagai karya sastera tidak penting, sebaliknya nilai sastera dan estetika yang ada pada sesebuah karya sewajarnya diserahkan kepada masyarakat atau sarjana sastera untuk mengesahkannya.

“Bagaimanapun, terbukti pada sidang Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Jakarta pada April lalu, novel saya mendapat penghargaan peringkat Nusantara. Saya lihat ini sebagai pengakuan daripada khalayak sastera, tetapi kelompok antisastera Islam, menuduh novel saya karya munafik atau najis,” katanya.

Meskipun mendapat dokongan kuat daripada Forum Lingkar Pena (FLP) yang menumpukan penghasilan dan penerbitan karya bernafas Islam, beliau tidak beranggapan novelnya menjadi laris semata-mata dengan sokongan ahlinya dalam bentuk pembelian buku.

“Pihak yang wajar untuk menjawabnya ialah kedai buku di Indonesia, tetapi pendaftaran terkini keanggotaan FLP mencatatkan jumlah kira-kira 7,000 ahli, sedangkan mengikut akhbar Republika, Ayat-ayat Cinta terjual lebih sejuta naskhah tanpa mengira buku cetak rompak,” katanya.



0 comments: