Tidak tahu bagaimana perasaan ketika menerima berita pemergian Ayahanda Azizi Haji Abdullah. Kali terakhir bertemu beliau beberapa bulan lalu di hospital. Ketika itu, Ustaz Azizi tidak lagi dapat bercakap kerana bahagian lehernya terpaksa ditebuk, selepas pembedahan jantung. Kami berinteraksi melalui lakaran penanya, namun kemesraan dapat dirasakan.
Sesekali ditersenyum mendengar celoteh saya dan isteri. Sempat juga menyantuni beliau, memberi minum dan mengusap tangan dan kakinya yang kelihatan 'letih'.
Kali terakhir berbual dengan Ustaz Azizi adalah kira-kira seminggu sebelum pembedahan. Ustaz bercakap dengan mesra dalam dialek utara yang pekat tetapi dekat di hati saya. Kami berbincang mengenai novel yang mahu diterbitkan dengan PTS.
Mandala Dunia Kedua, mungkin ini novel terakhir Ustaz Azizi. Menurut Ustaz, novel ini ditulis sebahagiannya ketika di hospital dan dipruf juga di situ. Saya terharu apabila dalam perbualan telefon, Ustaz menyatakan yang dia menyerahkan sepenuhnya kepada saya bagi menguruskan novel ini. Kepercayaan besar yang diberikan ini sangat menyentuh hati saya.
http://aziziabdullah.blogspot.com/2011/04/jemu-yang-terpaksa.html
Saya meminta editor PTS Litera Utama, menyiapkan segera cover buku ini kerana merancang menziarahi Ustaz pada hari raya ini. Saya berharap dapat menunjukkan kepada beliau mockup cover novel beliau ini. Harapan saya dengan melihat cover novel ini, sedikit sebanyak dapat mengubati kesedihan dan kesakitannya, juga menerbitkan bunga-bunga senyum pada wajah mesranya. Nampaknya, hasrat saya tidak kesampaian.
Entah mengapa kehilangannya terasa berbekas. sedangkan secara peribadinya kami tidak saling mengenali, sekadar bertemu sekali sekala di pentas ceramah atau program DBP. Namun mungkin kerana karya beliau yang sudah sebati dengan diri. Belajar dalam aliran Kesusasteraan Malayu sejak di tingkatan 3 hingga tingkatan 6, karya Ustaz Azizi paling saya minati. Mungkin kerana latar budaya yang sama, persoalan-persoalan dalam novel-novel beliau lebih menyentuh sedar saya.
Saya masih ingat ketika di Mesir, novel beliau AYAHANDA menjadi bekalan yang dinikmati entah berapa puluh kali. Hampir lunyai buku itu saya kerjakan. Membaca novel ini bagaikan membaca cerita sediri. Segala sindiran kepada sang anak bagaikan jatuh di atas batang hidung sendiri. Mungkin di situ kekuatan Ustaz Azizi, dia bercerita mengenai hidupan yang sebenar bukan khayalan melampau. Ustaz Azizi menulis dalam Kuras-Kuras Kreatif, dia membentuk watak dan perwatakan berdasarkan insan-insan yang berada di kelilingnya. Kerana itu hasil penanya sentiasa hidup, sama seperti insan-insan yang hidup di sekelilingnya.
Apabila diberikan tanggungjawab memimpin PTS Litera Utama, saya menetapkan azam untuk kembali menulis dalam bidang kreatif, walau pun sudah meninggalkannya sejak berpindah pengajian kepada pengajian Islam. Ia asalnya hanya azam yang diharapkan dapat dilunaskan suatu hari nanti, yang tidak pasti. Namun bebanan tugas baru memerlukan saya menyegeraka azam ini dengan seberapa segera. Bagaimana saya mahu menguruskan novel dan novelis sekiranya saya tidak menulis novel!
Sudah tentu bukan memudah mengubah haluan penulisan ilmah agama kepada karya kreatif. Dalam dilema itu, hanya nama Azizi Haji Abdullah yang lekat pada minda. Saya berusaha mengumpulkan kembali karya-karya beliau sebagai ulangkaji dan kajian bagi penulisan kreatif, novel khususnya. Siapa sangka dalam proses pembelajaran ini saya kehilangan sang guru...
Bukan saya seorang sahaja yang terhutang budi dengan Ustaz Azizi Haji Abdullah. Kebanjiran Novel Islami dalam pasaran Malaysia, juga PTS Litera Utama, adalah buah-buah ranum yang terhasil daripada Ustaz Azizi yang terlebih dahulu membajak tanah, menanam benih dan menyiramnya. Mungkin ada yang menolaknya dan mengaitkan kebangkitan ini dengan Habiburrahman dari seberang. Sedangkan Ustaz Azizi sudah lama memperjuangkan konsep halal haram penerbitan dalam karya-karya beliau. Memperjuangkan tauhid dan Tuhan sudah sinonim dengan karya beliau. Lebih menggagumkan lagi, novel-novel tauhid ini dihasilkan ketika dunia sastera Malaysia pada masa itu sedang mabuk dengan teori-teori barat yang menghalalkan apa sahaja atas nama SENI!
Ketika itu, novelis yang memperjuangkan fahaman aties disanjung hingga diangkat karyanya menjadi buku teks. Kisah-kisah hanyir dunia pelacuran, perzinaan dan kebobrokan akhlak bangsa diangkat begitu hebat dalam novel-novel ini seolah-olah penulisnya tidak bertuhan. Saya percaya, novel-novel yang menghidangkan bahan hanyir yang berada di pasaran adalah buah-buah busuk yang dihasilakn generasi sasterawan zaman ini. Dan ketika masyarakat sastera lemas bergelumang dengan karya-karya berdosa ini, Ustaz Azizi muncul dengan Seorang Tua di Kaki Gunung yang sempat 'menyamak' sedikit dunia sastera.
Demikian perjuangan seorang 'kekasih' bernama Azizi Haji Abdullah. Semoga setiap baris ayat dan setiap huruf yang dikarang menjadi bunga-bunga bahasa yang indah ini diterima Allah sebagai ganjaran pahala yang bakal membimbingnya ke SYURGA. Andai ada nikmat pahala daripada setiap patah perkataan yang kutulis dengan didikanmu, saya doakan ia dapat dijadikan benteng yang memisahkanmu daripada panas api neraka.
Terima Kasih Ayahanda Azizi Haji Abdullah...
- Ketika posting ini ditulis, seorang rakan memaklumkan jenazah almarhum dalam perjalanan ke Kulim untuk dikebumikan. Insyallah selepas ia disembahyangkan, saya akan melakukan solat jenazah ghaib sebagai hadiah kepada beliau. Saya mengajak rakan-rakan yang lain juga melakukan perkara yang sama. Hanya itu sumbangan terakhir kita kepada beliau...